Pemuda: Gugurkan isteri Najib di Unisel

       

kemaskini 3:35pm Pemuda Pakatan Rakyat menggesa kerajaan Selangor menggantikan isteri timbalan perdana menteri, Rosmah Mansor sebagai canselor Universiti Industri Selangor (Unisel).

rosmah mansor and unisel Universiti milik penuh kerajaan negeri itu melantik isteri Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai canselor pertamanya pada Ogos 2006.

Unisel, yang ditubuhkan pada 1999, diuruskan oleh Pendidikan Industri Yayasan Selangor Sdn Bhd (PIYSB) yang dipengerusikan oleh menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor bersama Pemuda PAS Selangor dan DAP Selangor akan menyerahkan surat bantahan kepada Abdul Khalid esok.

Dalam surat bantahan itu, Pemuda Pakatan mahu Unisel mencari seorang calon canselor yang "lebih bermoral dan berintegriti."

"Rosmah mempunyai nilai moral yang dipertikaikan oleh masyarakat. Rosmah bukan untuk gedung ilmu, tetapi lebih tepat untuk gedung membeli-belah," kata ketua AMK negeri Khairul Anuar Ahmad Zainudin.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, beliau bagaimanapun menafikan bantahan itu bermotifkan politik.

"Ini bukan soal musuh politik, ini tentang maruah universiti," katanya, yang juga naib ketua Pemuda PKR.

Menurutnya lagi, secara teknikalnya, penggantian jawatan itu boleh dijalankan dalam masa sebulan.

Mengulas calon yang bakal menggantikan bakal wanita pertama itu, Khairul Anuar berkata:

"Ramai lagi tokoh-tokoh dalam Pakatan, dalam PKR, DAP dan PAS yang layak mengisi jawatan itu.

"Contohnya naib presiden PKR Dr Syed Hussin Ali sendiri yang lama bergiat dalam politik dan yang mempunyai penguasaan akademik dalam bidang antropologi."

Malaysiakini
terkini untuk anda