Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shah Rukh Khan sah ke Melaka 6 Dis
Diterbitkan:  Nov 24, 2008 5:55 PM
Dikemaskini: 12:14 PM

Artis popular Bollywood Shah Rukh Khan telah memberi persetujuan untuk datang ke Melaka pada 6 Disember depan bagi menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran 'Datuk Kehormat'.

Ini disahkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Omar Kaseh dalam satu kenyataan hari ini.

shahrukh khan Istiadat penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) kepada Shah Rukh akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh pada jam 10 pagi hari berkenaan.

Di majlis itu, Shah Rukh akan berpakaian baju Melayu serba hitam dan bersongkok - satu-satunya artis bollywood yang diberi penghormatan memakai busana baju kebangsaan yang pasti akan ditonton di seluruh dunia.

Seramai 1,000 orang akan dijemput ke majlis teresbut dan ia terhad kepada jemputan sahaja.

Menurut Omar, Shah Rukh akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 7.30 pagi 6 Disember.

"Sejak awal lagi beliau telah memberi persetujuan untuk datang ke Melaka dengan memberi beberapa tarikh yang sesuai untuk dirinya.

"Bagaimanapun, tarikh yang diberikan, tidak bersesuaian dengan kerajaan negeri kerana ada antaranya jatuh pada hari kerja biasa," kata Omar.

Temui peminat

Menurutnya, Shah Rukh akan berada di Melaka selama sehari dan akan melakukan lawatan ke beberapa tempat terkenal di kawasan Melaka bandaraya warisan dunia.

Satu sidang akhbar bersama Shah Rukh dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pula akan diadakan selepas istiadat penganugerahan iaitu pada jam 12 tengahari di Dewan Seri Negeri.

Sepanjang sehari di Melaka, Shah Rukh akan melawat Menara Taming Sari, menaiki beca ke jam besar melalui Jalan Quayside, mengunjungi Eye On Malaysia , pentas Jonker Walk dan kemudiannya menaiki buggy hingga ke Padang Nyiru.

Shah Rukh juga akan melawat sekitar Kampung Morten dan kemudiannya akan bertemu peminat di Dataran MBMB (Majlis Bandaran Melaka Bersejarah) pada jam 4.45 petang.

MBMB juga akan mengadakan konsert 'Jom ke Melaka Bandaraya Warisan Dunia' di Dataran MBMB pada 6 Disember sempena meraikan penganugerahan watikah pengisytiharan Melaka sebagai bandaraya warisan dunia di Kuala Lumpur pada 22 November lalu.

Beberapa penyanyi jemputan akan mengadakan persembahan mulai jam 4.30 petang hingga 6.30 petang, antaranya Mila, Salwa Abdul Rahman, Datuk Malek Riduan, Vienda, Zul Eda, Othman Hamzah dan artis-artis lain.

Shah Rukh akan singgah bertemu peminat pada konsert itu kira-kira 30 minit sebelum berlepas ke KLIA untuk pulang ke Mumbai pada jam 8 malam.

ADS