Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PKR menyeru ahli-ahlinya dan orang ramai tetap optimis dengan usaha parti itu membentuk kerajaan baru persekutuan seperti sedang diusahakan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata pembentukan kerajaan baru pada 16 September lalu tidak berlaku tetapi perjuangan ke arah itu tetap diteruskan.

Beliau juga menyeru ahli-ahli agar sentiasa berdoa untuk merealisasikan projek tersebut.

Dalam ucapan penggulungannya di akhir kongres nasional parti itu di Shah Alam petang tadi, beliau menyeru ahli-ahli PKR, termasuk wakil-wakil rakyatnya agar tidak berputus asa tetapi harus terus berkhidmat untuk memastikan projek 16 September itu direalisasikan.

"Jangan putus asa, teruskan bekerja," kata isteri Anwar.

Jelasnya, tohmahan akibat kegagalan usaha menjatuhkan kerajaan BN itu bukan perkara baru tetapi seahagian rentetan ujian yang ditempuh oleh PKR.

Sewaktu beliau bertanding dalam pilihanraya umum 2004 untuk mempertahankan kerusi Permatang Pauh, kata Dr Wan Azizah lagi, beliau hampir kalah.

"Ramai yang tinggalkan kita. Mereka kata, parti ini akan mati, akan pupus," tambahnya.

Namun, kerusi itu berjaya dipertahankan dengan selepas dalam pilihanraya umum 1998.

Katanya, PKR kemudian berdepan tohmahan baru berhubung projek 16 September pula apabila banyak pihak mempertikainya sama ada ia omongan kosong sehingga timbul dakwaan Anwar seorang penipu.

"(Orang bertanya) bila lagi, bila lagi? Sabarlah. Dah boleh sabar begitu lama," katanya, disamut tepukan gemuruh kira-kira 1,000 perwakilan dan pemerhati.

"Jangan kata 16 September tak jadi. Insya Allah (jadi kenyataan)."

Dalam sesi penggulungan itu, Naib Presiden PKR Mohamad Azmin Ali turut menggesa ahli agar memberi komitmen kepada Anwar untuk membentuk kerajaan baru "dalam masa terdekat".

"Saya percaya yang dilafazkan akan dimakbulkan," katanya.

Tambahnya, cabaran teraru PKR ialah bagaimana mengurus kemenangan besar dalam pilihanraya umum lalu secara bijaksana dan penuh tanggungjawab.

Jelasnya lagi, PKR akan menubuhkan pasukan petugas bagi mengurus pendaftaran ahli di peringkat pusat, negeri dan bahagian.

Beliau juga menasihatkan ahli-ahli akur dengan keputusan pimpinan PKR dan majlis pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat berhubung calon yang akan bertanding dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

ADS