Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Krisis dalaman Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) - terkenal dengan "skuad berani bogelnya" dan lantang mengkritik kerajaan Selangor - makin tegang apabila kedua-dua pihak terus bertelagah berhubung bidang kuasa masing-masing.

Setiausaha penajanya Zairi Jantan - seorang yang didakwa dipecat oleh presidennya Ramlan Abu Bakar - kini mempertikaikan tindakan ketuanya itu.

"Beliau (Ramlan) tidak ada hantar surat (pemecatan) pun. Lagi pun dua pertiga exco bersama kita. Hanya seorang (exco) sahaja bersamanya," katanya hari ini.

reformis president ramlan abu bakar 121208 05 Selain Zairi, lima lagi daripada 12 exco Reformis termasuk timbalan presiden Badrul Hisham Mohd Hanafiah digugurkan kerana mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada presiden awal bulan ini.

Ramlan (foto) dikenakan tindakan tersebut dengan alasan "menyerang secara peribadi" Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan tidak merujuk pandangan barisan exco Reformis.

Ketika dihubungi Malaysiakini , Zairi mendakwa, sepuluh daripada 12 exco Reformis tidak bersetuju dengan tindakan Ramlan.

Malah, tambahnya, mereka kini meminta Ramlan "meletakkan jawatan dengan baik".

"Berdasarkan maklum balas daripada 2,000 ahli di seluruh negara, kami mahu beliau meletakkan jawatan dengan baik.

"Jika tidak, ia akan memburukkan nama Reformis," katanya.

Reformis - dipercayai mempunyai hubungan dengan penyokong Gerakan Reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim - didaftarkan pada Julai tahun lalu tetapi hingga kini Pendaftar Pertubuhan belum meluluskan NGO itu.

Surat tunjuk sebab

Berhubung status Ramlan, Zairi berkata, exco Reformis dijangka bermesyuarat Rabu ini bagi memutuskan tindakan yang wajar dikenakan terhadap presidennya jika surat tunjuk sebab yang dikeluarkan, diabaikan.

anwar ibrahim penang event 091208 02 Keputusan dalam mesyuarat 2 Disember lalu mengkehendaki Ramlan menjawab surat tersebut dalam masa 14 hari.

Jumaat lalu, Ramlan bagaimanapun berkata, beliau mengabaikan surat tunjuk sebab itu kerana exco yang mengeluarkannya telah dipecat olehnya.

Beliau turut mendakwa kuasa pemecatan berada di bawah bidang kuasa presiden.

Ditanya tentang tindakan Ramlan mensasarkan "perang bogel" baru kepada Anwar, Zairi berkata:

"Saya tidak faham kenapa dia menyerang Anwar pula. Ini urusan kerajaan negeri. Mungkin Anwar sudah nasihatkan Abdul Khalid. Kita tidak tahu."

Zairi mendakwa, tindakan Ramlan itu - pengusaha tempat letak kenderaan di Sentul - disyaki bersifat peribadi kerana dituduh permohonan projeknya dengan kerajaan Selangor tidak mendapat balasan.

Malaysiakini sedang mendapatkan ulasan Ramlan berhubung dakwaan setiausahanya itu.

ADS