Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penyokong Datuk Mukhriz Mahathir yakin bahawa sokongan bahagian-bahagian kepada ahli Parlimen Jerlun itu untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno, tidak akan luntur walaupun pemilihan jawatan itu akan hanya berlangsung Mac depan.

Sehubungan itu, Pegawai Khas kepada Mukhriz, Amran Ali menolak tanggapan bahawa sokongan mereka kepada Mukhriz ibarat 'hangat-hangat tahi ayam' ekoran pelbagai isu yang melanda parti itu selepas pilihanraya umum Mac lalu.

mukhriz mahathir and umno pemuda "Bukan berkurangan, tapi tempoh kempen terlalu panjang. Oleh kerana kempen terlalu panjang, maka akan ada keluh kesah dari kalangan perwakilan.

"Tapi di hujung (tarikh berkempen) akan ada sentuhan yang membolehkan kemenangan (berpihak kepada Mukhriz)," kata Amran kepada Malaysiakini .

Selepas mesyuarat bahagian berakhir 9 November lalu, Mukhriz yang juga exco Pemuda Umno memperolehi pencalonan terbanyak di antara calon-calon yang layak bertanding jawatan tersebut.

Beliau mendapat 74 pencalonan, diikuti bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dengan 62 pencalonan dan Naib Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin (53 pencalonan).

Siri pertemuan

Mukhriz mendapat sokongan padu dari 14 daripada 15 bahagian di Kedah, Johor (13 bahagian), Pahang (8 bahagian) dan Negeri Sembilan (4 bahagian).

Amran berkata, Mukhriz sedang mengadakan siri perjumpaan dengan perwakilan dan akar umbi untuk bertukar-tukar pandangan bagi memperkukuhkan lagi pergerakan Pemuda Umno.

Beliau menolak tanggapan bahawa siri perjumpaan tersebut melanggar tata etika kempen yang dikawal selia oleh Majlis Tertinggi.

"Majlis pertemuan dengan perwakilan diadakan untuk berbincang dan bertukar fikiran, tanpa ada agenda dan kepentingan peribadi.

"Datuk (Mukhriz) menawar diri untuk berkhidmat (kepada parti)," kata Amran lagi.

Beliau berkata, pihaknya juga bertemu dengan golongan muda di peringkat bahagian bagi menarik balik sokongan mereka kepada pergerakan Pemuda Umno bagi memperkasakan lagi Umno.

Bayangan Dr M

Menurut Amran lagi, Mukhriz akan berusaha untuk berjumpa dengan perwakilan di seluruh negara.

Berdasarkan perkembangan sehingga ini, peluang bagi anak bongsu mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu, adalah cerah untuk memenangi jawatan ketua Pemuda Mac depan.

Amran yang juga bekas setiausaha Pemuda Jerlun, tidak menafikan kemungkinan Mukhriz dibayangi bapanya.

"Tetapi pencalonan yang Datuk Mukhriz perolehi itu, adalah atas kekuatan peribadinya sebagai seorang pemimpin.

"Mereka (bahagian) menterjemahkan suara mereka dalam bentuk pencalonan untuk Datuk Mukhriz bagi membawa perubahan dalam Pemuda," tambah Amran.

Menurut Amran lagi, Mukhriz adalah seorang pemimpin yang berwawasan, dan mengutamakan agenda parti daripada kepentingan peribadi.

ADS