'Tidak patut, selepas Zahar kaut kekayaan'

       

kemaskini 2:38pm Bekas ketua bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim tidak sepatutnya menyertai PAS selepas mendapat kekayaan selama lebih 20 tahun berkecimpung dalam Umno, dakwa seorang pemimpin Pemuda Umno Selangor.

"Tidak seharusnya beliau masuk PAS setelah mendapat kekayaan dan manfaat daripada parti (Umno)," kata exco penerangan Pemuda negeri Nor Azman Mohd Nor.

"Selama lebih 20 tahun beliau berkhidmat dalam parti dan mendapat manfaat daripada parti. Beliau sepatutnya mengenang budi dan jasa (Umno)."

Mengulas tindakan Umno awal bulan ini yang didakwa punca Zahar meninggalkan parti itu, Nor Azman berkata penggantungan Zahar selama tiga tahun bukan diambil sewenang-wenangnya.

"Selama 62 tahun, Umno tidak membuat keputusan sewenang- wenangnya, mesti ada sebab-musabab," katanya, yang juga ketua Pemuda Umno bahagian itu penggal lepas.

Selain mendedahkan isu kontrak pembelian helikopter Eurocopter, Zahar digantung jawatan ketua Umno bahagian mulai 2 Disember kerana mengkritik pemimpin utama parti termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa.

Menurut Nor Azman lagi, tindakan Zahar mendedahkan isu pembelian Eurocopter oleh Kementerian Pertahanan bersifat peribadi dan ia di luar pengetahuan ahli-ahli jawatankuasa bahagian.

"Tindakan Majlis Tertinggi (menggantung beliau) perlu kerana ia boleh merosakkan parti dan (merupakan) satu kesalahan. Ahli Umno perlu setia kepada parti," katanya kepada Malaysiakini .

Tidak wajar Zahar meninggalkan Umno dan mengajak sebahagian penyokongnya turut menyertai PAS, tambahnya.

"Tindakan keluar parti dan menyertai PAS, dan meninggalkan ahli adalah satu tindakan peribadi yang tidak patut dilaksanakan," kata Nor Azman, sambil menjelaskan beliau tidak ada permusuhan atau perselisihan faham dengan bekas ketuanya itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin bahawa ahli-ahli Umno bahagian tidak terpengaruh untuk bersama-sama dengan mantan ketua bahagian itu kerana menyifatkan mereka sudah berfikiran matang.

Dalam ucapannya hari ini sewaktu menyerahkan borang kepada Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa di satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Ampang pagi ini, Zahar berkata 28 ketua cawangan, dan 13 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan akan mengikut jejak langkahnya.

Umno Petaling Jaya Selatan mempunyai 38 ahli jawatankuasa bahagian dan 101 cawangan dengan jumlah keanggotaan lebih kurang 20,000 orang.

Nor Azman juga menjelaskan, bahawa Zahar tidak sepatutnya menyertai PAS tetapi "sepatutnya dia tubuh parti baru".

"Beliau boleh bercakap apa yang beliau suka, dan buat apa yang beliau suka. Selama ini beliau hentam PAS, lepas tu (sekarang) jilat ludah balik," tambahnya.

Malaysiakini
terkini untuk anda