Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengundi muda Cina cenderung sokong pembangkang...
Diterbitkan:  Jan 7, 2009 2:41 PM
Dikemaskini: 6:46 AM

Barisan Nasional (BN) perlu memberikan perhatian yang lebih kepada pengundi muda kaum Cina bagi memastikan golongan itu menyokong calon BN dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini, kata Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Berdasarkan maklum balas yang diterima, golongan berkenaan berkecenderungan menyokong pembangkang berbanding pengundi matang berusia 35 tahun ke atas, yang mampu menilai jasa dan sumbangan kerajaan BN terhadap kehidupan mereka, lapor Bernama.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan pemimpin pertubuhan Tionghua dan Dewan Perniagaan Cina Kuala Terengganu di Kuala Terengganu malam tadi, beliau berkata rasa penghargaan golongan matang bagaimanapun mungkin tidak dikongsi oleh golongan muda di kawasan parlimen berkenaan.

Ditanya punca kepada kecenderungan golongan muda memilih pembangkang itu, Koh berkata ia merupakan satu fenomena biasa.

"Secara amnya ia memang begitu, tetapi apabila mereka jadi lebih matang, mereka akan sertai BN," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata BN perlu berusaha lebih gigih untuk mendekati golongan tersebut dengan mendengar suara dan aspirasi mereka.

Katanya Gerakan bercadang mengadakan beberapa pertemuan dengan golongan muda kaum Cina untuk memberi penjelasan tentang dasar kerajaan selain mendengar masalah mereka.

Dalam pilihan raya kecil itu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh daripada BN akan ditentang calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dan calon Bebas Azharudin Mamat @ Adam.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Razali Ismail daripada BN pada 28 November lalu.

ADS