Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Wan Abdul Mutalib Embong mendakwa pemimpin-pemimpin PAS "beraliran Erdogan" wujud di negeri itu tetapi tidak menonjol.

"Ada orang Erdogan di Terengganu tetapi tidak ada masalah walaupun mereka ada pengikut.

"Syaitan pun ada pengikut, tak kan orang tidak ada pengikut," katanya dalam sidang media harian di pejabat PAS kawasan Kuala Terengganu sempena pilihanraya kecil kawasan parlimen itu.

Wan Abdul Mutalib diminta mengulas peranan "kumpulan Erdogan" - dipercayai termasuk wakil rakyat Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi - dalam pilihanraya yang sedang berlangsung.

syed azman syed ahmad nawawi kuala terengganu by election Isu ini berbangkit susulan wujud tanggapan bahawa kumpulan tersebut termasuk Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa, Bendahari PAS Dr Hatta Ramli dan ketua Pusat Penyelidikan PAS Dr Dzulkifli Ahmad tidak serius membantu calon parti Mohd Abdul Wahid Endut.

Pergeseran kumpulan ini dengan jentera PAS yang diketuai oleh Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan pesuruhjaya negeri Datuk Mustafa Ali didakwa akibat pengguguran Dr Syed Azman daripada pertandingan di pilihanraya kecil ini walaupun ahli jawatankuasa pusat PAS itu seorang tokoh muda yang paling digemari.

Abdul Wahid menentang calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon bebas Azharudin Mamat @Adam pada 17 Januari ini.

Wan Abdul Mutalib menjelaskan, tanggapan negatif mengenai konflik dalaman membabitkan kumpulan Erdogan hanya spekulasi politik dan "bukan satu isu."

"Dalam parti (PAS) ada pelbagai pandangan, jadi tidak timbul isu tersebut," katanya lagi.

"Saya tidak tahu siapa Erdogan, cuba awak sebut siapa Erdogan?"

"Saya pun Erdogan juga," tambahnya, sambil ketawa.

Istilah "kumpulan Erdogan" pertama kali muncul di blog Anti Husam yang dibangunkan menjelang muktamar PAS Ogos lalu dan dipercayai dibina oleh orang dalam parti itu sendiri.

Istilah ini yang mula popular di kalangan media dan ahli politik merujuk kepada beberapa tokoh utama PAS termasuk Setiausaha Agungnya, Datuk Kamaruddin Jaafar - selain Husam dan Dr Hatta - yang membantah projek parti itu untuk mengadakan rundingan sulit dengan Umno.

Muzakarah senyap-senyap PAS-Umno tidak lama selepas pilihanraya umum Mac tahun lepas melibatkan Nasharuddin dengan sokongan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mustafa dipercayai tokoh penggerak usaha ini.

ADS