Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) - Institut Nasional Untuk Ketelusan Pilihanraya (NIEI) - yang memantau pilihanraya kecil Kuala Terengganu Sabtu lalu mendakwa berlakunya amalan rasuah dan penyalahgunaan jentera kerajaan sepanjang kempen pilihanraya kecil tersebut.

Pengerusinya, Yunus Ali berkata, laporan lengkap hasil pemantauan 10 petugas NIEI itu, akan siap dalam masa dua minggu dan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), kedutaan-kedutaan asing di Malaysia dan semua NGO.

Yunus Ali mendakwa amalan rasuah dan politik janji rasuah oleh Barisan Nasional (BN) berleluasa berlaku dalam pilihanraya kecil tersebut, melibatkan jumlah sebanyak RM 1 billion.

Manakala PAS pula, dakwanya, turut melanggar etika amalan pilihanraya yang baik, antaranya pemberian percuma kerusi roda di Bukit Tepu, khidmat percuma gunting rambut dan rundingan kesihatan pakar homeopati.

Yunus turut mempertikaikan pembiayaan kehadiran menteri-menteri kabinet, menteri besar dan ketua menteri daripada BN dan Pakatan Rakyat serta barisan exco mereka sepanjang kempen pilihanraya kecil tersebut.

Dalam satu kenyataannya yang diedarkan dalam satu sidang akhbar di ibunegara pagi ini, Yunus mendakwa, wang ehsan RM300 bagi orang dewasa dan RM250 untuk muda-mudi, diumumkan akan diagih untuk warga Terengganu.

Manakala pengundi Cina pula, dakwanya, diedarkan angpau sebanyak RM300 sempena perayaan Tahun Baru Cina manakala penarik beca di Kuala Terengganu pula dijanjikan wang ehsan RM10,000 seorang, dakwa Yunus.

Yunus berkata, kehadiran begitu ramai anggota polis dikerahkan bertugas sepanjang pilihanraya kecil di Kuala Terengganu membuat orang ramai terasa tidak selesa dan berpersepsi seolah-oleh dalam keadaan darurat.

Pancing undi

Sepanjang 20 hari petugas NIEI menjalankan tugas pemantauan di Kuala Terengganu, Yunus mendakwa, pihaknya mengenalpasti 14 bentuk yang didakwanya sebagai rasuah, yang dijanjikan oleh BN untuk memancing undi bagi memastikan kemenangan calonnya, antaranya:

bullet button Penubuhan dan pemberian RM 1 juta untuk Tabung Kecemasan Nelayan.

bullet button Peruntukan RM150,000 untuk skim pembangunan nelayan Kuala Terengganu.

bullet button Pemberian secara lambak tanpa tender 583 projek Kelas F yang bernilai RM15.8 juta.

bullet button Upacara mengasaskan projek pembinaan unit kardiologi yang bernilai RM10 juta.

bullet button Upacara perasmian projek pembinaan masjid di Kubang lkan (Kuala Terengganu) pada 15 Januari 2009.

bullet button Upacara pecah tanah pembinaan 1,200 unit Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

bullet button Perasmian peruntukan RM100 juta untuk membina 1,000 unit rumah kos rendah di Kuala Terengganu.

bullet button Pemberian RM6.1 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa Wei Sin.

bullet button Pemberian sebanyak RM2.5 juta untuk masyarakat Cina Kuala Terengganu.

bullet button Pengumuman geran RM 50 juta untuk sekolah-sekolah Cina.

bullet button Pemberian pilot E-book (komputer) kepada 100 orang di Kuala Terengganu. Janji pemberian 23,000 buah E-book (komputer), berharga RM 1,300 sebuah, kepada kanak-kanak sekolah.

bullet button Seramai 206 orang penenun songket menerima satu set seorang Mesin Tenunan Tradisional yang berharga RM 695 seunit.

bullet button Pemberian RM408.6 juta kepada kerajaan Negeri Terengganu sebagai royalti minyak.

bullet button Mengisytiharkan projek untuk meluaskan ruang keluar-masuk pelabuhan perikanan di Pelabuhan Cendering.

Dakwaan salahguna kuasa

Dalam kenyataan itu juga, Yunus turut mendakwa berlakunya penyalahgunaan kuasa dan jentera kerajaan di peringkat tempatan, negeri dan persekutuan.

bullet button Di peringkat kerajaan tempatan, Datuk Bandar Kuala Terengganu merangkap Pegawai Kanan Pilihanraya, Mat Razali Kassim didakwa berkempen dan mendesak kakitangan di bawahnya untuk mengundi BN. (Beliau telah meletakkan jawatan pegawai pilihanraya sehari sebelum pilihanraya kecil).

bullet button Penggantinya, Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, yang sebelumnya memangku Pegawai Kanan Pilihanraya, Wan Mustafa Wan Hassan, juga disangsikan kerana didakwa melibatkan diri dalam program kempen BN.

bullet button Penggunaan pejabat menteri besar dan jentera sebuah jabatan kerajaan dalam upacara perasmian pecah tanah pembinaan masjid.

bullet button Ketika dalam ceramah di Perumahan Pusu Tiga, Gong Badak, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said didakwa mengarahkan Jabatan Saliran dan Perparitan untuk mengkaji masalah banjir di kawasan itu.

bullet button Setiausaha kerajaan negeri dan pengarah kewangan negeri didakwa melibatkan diri dalam program taklimat BN yang disasarkan kepada imam dan bilal masjid, ketua kampung dan pegawai perkhidmatan awam, termasuk pegawai kerajaan luar kawasan yang mengundi di P036 (Parlimen Kuala Terengganu).

bullet button Perasmian nama lnstitut Pendidikan Guru Malaysia kepada kampus Datuk Razali Ismail dan sebuah sekolah menengah kebangsaan kepada Sekolkah Menengah Kebangsaan Datuk Razali Ismail.

Kementerian didakwa terlibat

Yunus juga mendakwa, kementerian persekutuan turut terlibat dalam kempen pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Pelajaran, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pertanian, Kementerian Kewangan, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Penerangan dan Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti

Yunus juga mendakwa BN telah berkempen dengan menguar-uarkan khidmat dan perbelanjaan kerajaan yang telah dilaksanakan, seolah-olah dibiayai oleh mereka, antaranya:

bullet button Peruntukan RM 500,000 di bulan Disember 2008 untuk mangsa banjir.

bullet button RM 200,000 telah dibelanjakan untuk membeli makanan dan keperluan lain untuk mangsa banjir.

bullet button Penggantian atap-atap.

bullet button Pendaratan pesawat MAS penerbangan pulang haji terus ke Kuala Terengganu.

Dalam sidang media itu, NIEI turut menayangkan gambar-gambar sepanjang kempen pilihanraya parlimen itu, termasuk papan-papan tanda yang mempunyai lambang dacing sebagai penawaran perkhidmatan yang seolah-olah dibiayai oleh BN.

Menurut Yunus lagi kehadiran menteri-menteri kabinet, menteri besar dan ketua menteri daripada BN dan Pakatan Rakyat serta barisan exco mereka sepanjang kempen pilihanraya kecil tersebut turut menimbulkan persoalan mengenai siapakah yang membiayai kos perbelanjaan mereka di sana.

"Saya harap ada ketelusan dan kebertanggungjawaban ke atas perbelanjaan mereka sepanjang berkempen di Kuala Terengganu," katanya.

Akhbar diedar percuma

Yunus juga mendakwa berlaku amalan rasuah dalam bentuk pengedaran dan pemberian percuma akhbar-akhbar tempatan oleh BN.

Pelbagai konsert, dakwanya, dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia, termasuk persembahan penyanyi popular dari Terengganu.

PAS juga, dakwanya, turut melanggar etika amalan pilihanraya yang baik, termasuk pemberian percuma kerusi roda di Bukit Tepu, khidmat percuma gunting rambut dan rundingan kesihatan pakar homeopati.

Di samping, kata Yunus, NIEI menganggarkan kira-kira 10,000 anggota polis dikerahkan bertugas di Kuala Terengganu sepanjang kempen pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

"Nisbahnya satu orang untuk lapan orang pengundi. Kehadiran terlalu ramai memberikan suasana sebagai keadaan perang.

"Jika tujuannya untuk menjaga keselamatan, tetapi kesan adalah di sebaliknya, orang ramai terasa tidak selesa dan berpersepsi seolah keadaan dalam darurat.

"Ini bertentangan dengan suasana pilihanraya yang baik, iaitu bebas dan tenteram," kata Yunus dalam kenyataan tersebut.

ADS