Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS WP bantah konsert Rihanna
Diterbitkan:  Jan 20, 2009 11:20 AM
Dikemaskini: 5:46 AM

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan kesal dengan tindakan sebuah syarikat telekomunkasi terkemuka tempatan menaja dan akan turut menganjurkan program Xpax ignites Rihanna LIVE in Kuala Lumpur pada 13 Februari depan.

rihanna Rihanna yang terkenal dengan lagu Bad Girl dan Umbrella sebelum ini dijangka mengadakan persembahan lewat jam 8.30 malam di Stadium Bukit Jalil.

Ketua Pemuda PAS WP, Kamaruzaman Mohamad berkata, Rihanna yang berkecimpung dalam genre R&B , Pop, Pop-Rock , dance dan reggae sering membawakan aksi yang menghairahkan dalam persembahannya di samping mengenakan pakaian ketat dan seksi.

Ini, katanya, sememangnya tidak memenuhi dan secocok dengan citarasa budaya tempatan, dan syarikat telekomunikasi tempatan itu sewajarnya mengutamakan budaya ketimuran dan artis-artis tempatan.

Menurut Kamaruzzian berkata, iklan-iklan telah mula disebarkan melalui kaca TV, akhbar dan sebaran Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

Rihanna atau nama sebenarnya Robyn Rihanna Fenty merupakan artis kelahiran Kepulauan Barbados yang menempah nama di Amerika Syarikat.

Kamaruzaman berkata, kehadiran Rihanna yang kini sudah menetap di Amerika sedikit sebanyak akan membawa keluar wang negara yang akhirnya akan masuk ke Amerika.

Kesengsaraan rakyat Palestin

israel palestine gaza attack 160109 01 "Melihat kepada pengaliran wang ini, bukan sahaja membawa kita memahami erti kerugian buat negara tetapi satu penderitaan buat rakyat Palestin dimana Amerika yang menjadi sekutu Israel membekalkan senjata ketika pembunuhan ngeri di Gaza hasil dari sumbangan dan dana cukai yang diberi oleh penduduk Amerika.

"Sama ada Rihanna sedar atau tidak, kita sememangnya tahu bahawa duit cukai yang dibayar beliau turut menyumbang kepada peperangan di Gaza," kata Kamaruzaman.

Oleh itu, katanya, Pemuda PAS WP menolak kehadiran artis tersebut di Malaysia atas dasar ketidaksesuaian gaya penyampaian lagu, pakaian dan juga atas sentimen menghormati rakyat Palestine yang tertindas angkara kekejaman Israel dan sekutunya-Amerika yang ditaja oleh kebanyakkan penduduknya.

"Sama ada Rihanna terlibat atau tidak, bagi kami, beliau juga adalah ejen kepada kerosakan muda-mudi yang ada diseluruh dunia melalui penyampaian lagunya dan juga penyumbang kepada kekuatan dana Israel melalui Amerika yang menjadi tempat beliau menempah nama.

"Memanggil Rihanna ke Malaysia umpama menghina adab ketimuran, merendahkan artis tempatan, sengaja merugikan ekonomi negara dan menyokong dasar perang Israel yang disokong Amerika," katanya.

Sewajarnya, kata Kamaruzaman, dalam suasana ekonomi yang tidak menentu dan rakyat Palestin ditindas "kita seharusnya meneruskan kempen boikot barangan Amerika, termasuklah artis-artis mereka serta apa sahaja yang dikeluarkan dari negara itu, terutama perkara-perkara yang negatif".

Justeru itu, katanya, Pemuda PAS WP menyeru organisasi kerajaan seperti Kementerian Luar Negeri, Imigresen, Puspal, DBKL, Polis dan yang terlibat dalam mengeluarkan permit konsert ini, supaya menolak permohonan penganjur bagi membawa artis tersebut ke sini.

Gesa rakyat bantah

Pemuda PAS juga menggesa NGO dan parti-parti politik serta orang perseorangan supaya menolak konsert ini dan menyatakan bantakan mereka dengan menghantar bantahan kepada syarikat komunikasi berkenaan serta organisasi kerajaan yang terlibat dalam mengeluarkan permit bagi konsert tersebut.

"Dalam masa terdekat ini, Pemuda PAS WP akan mengemukakan surat bantahan bagi memastikan konsert ini dibatalkan.

"Cukuplah dengan segala macam bencana yang berlaku sekeliling kita, jangan diundang lagi apa yang kita tidak mampu hadapinya dimasa akan datang dengan cara yang sebegini.

anti israel protest us embassy 090109 09 "Kita sibuk menderma untuk tabung Gaza tapi dalam masa yang sama wajarkah kita menyumbang kepada tabung peperangan Israel melalui konsert Rihanna ini?" soalnya.

Dalam hal ini, Kamaruzaman berkata, Pemuda PAS WP akan terus konsisten menentang konsert-konsert yang tidak mengambarkan akhlak dan nilai ketimuran yang positif serta turut mengundang pelbagai masalah sosial di negara ini.

"Kami juga akan terus konsisten untuk memboikot apa sahaja produk Amerika yang merugikan negara dan menyumbang kepada peperangan atau kerosakkan di muka bumi ini," tambahnya.

ADS