Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lelaki mati mengejut ketika disoal siasat
Diterbitkan:  Jan 20, 2009 8:36 PM
Dikemaskini: 12:37 PM

Seorang lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes curi kereta mewah, mati secara tiba-tiba ketika sedang disoal siasat di Balai Polis Taipan, Subang Jaya dekat Shah Alam hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 11 pagi ketika lelaki itu disoal siasat berhubung kes samun dan curi kereta mewah membabitkan kumpulan yang bergerak aktif di sekitar Lembah Klang.

"Ketika disoal siasat, lelaki itu minta segelas air minuman, sebaik minum dia jatuh dan tidak sedarkan diri. Doktor dari sebuah klinik berhampiran dipanggil untuk memeriksa lelaki berkenaan dan mengesahkan dia telah mati," katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima balai polis bergerak sumbangan Kerajaan Selangor yang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ramli Mahmud di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam hari ini.

Khalid berkata lelaki berusia 22 tahun yang berasal dari Puchong, ditahan pada 15 Januari lalu kerana disyaki terbabit dalam kegiatan samun dan curi kereta mewah jenis Toyota Camry dan Honda Accord di Sungai Chua, Kajang.

Mayat lelaki itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan setakat ini, kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Khalid berkata keluarga lelaki terbabit ada memaklumkan lelaki itu menghidap penyakit asma.

"Kita tidak mahu ada pihak membuat spekulasi memandangkan kes mati dalam tahanan ini sesuatu yang sensitif. Lelaki itu juga memberi kerjasama sepanjang soal siasat dijalankan.

"Apapun saya memberi jaminan siasatan yang terperinci akan dibuat dan menunggu keputusan bedah siasat," katanya.

ADS