Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap isu tunggakan bayaran bagi projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pihaknya akan berusaha memastikan bayaran bagi projek yang telah disiapkan serta tuntutan kemajuan kerja kepada kontraktor dan pembekal dapat dilunaskan.

“Mana-mana pembayaran kepada projek yang telah diselesaikan tetapi belum dapat pembayaran, kita akan ikhtiarkan agar dana itu dapat membuat pembayaran dan juga bayaran mengikut kerja-kerja kemajuan, bayaran kemajuan kepada kontraktor dan juga para pembekal.

“Perkara ini telah saya jelaskan di Parlimen juga dan telah dijawab oleh Menteri Kewangan II, dan saya harap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Deepavali 2026 di Dewan Umno Bagan Datuk di Bagan Datuk hari ini.

Ahmad Zahid mengulas klip video yang dimuat naik Setiausaha Akhbar Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Fadzmel Fadzil di TikTok berhubung dakwaan kelewatan pembayaran projek bernilai lebih RM200 juta.

Pada 30 Okt lepas, media melaporkan tunggakan bayaran interim kepada kontraktor serta pampasan kepada pemilik tanah berjumlah RM259.503 juta setakat 30 Sept lepas, membabitkan 112 projek.

Perkara itu dimaklumkan Fadzmel yang juga Exco Pemuda UMNO, dengan tunggakan berkenaan didakwa menjejaskan kontraktor kecil, termasuk kontraktor bumiputera, yang masih belum menerima bayaran walaupun kerja telah diselesaikan.

- Bernama