Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR P Pinang gugur Mohd Fairus dari jawatan timbalan pengerusi

PKR Pulau Pinang membuat rombakan drastik dalam jawatankuasa perhubungan negerinya dengan menggugurkan dua daripada tiga timbalan pengerusinya, termasuk Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd Fairus Khairuddin.

Seorang lagi timbalan pengerusi PKR negeri yang digugurkan ialah exco kerajaan negeri, Law Choo Kiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BukitTambun.

fairus khairuddin and penang

Tempat Mohd Fairus digantikan oleh Dr Mansor Othman manakala Law digantikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk, Tan Hock Leong.

Bagaimanapun Mohd Fairus dilantik sebagai ahli jawatankuasa jemputan.

Manakala Datuk Zahrain Mohamed Hashim kekal sebagai pengerusi PKR negeri dan Adun Batu Uban, S Raveentharan kekal sebagai timbalan pengerusi negeri.

Jawatan ketua Pemuda PKR negeri yang kosong sebelum ini diisi ahli Parlimen Balik Pulau, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff.

Mustafa Kamal kekal

Mustafa Kamal Mohd Yusoff mengekalkan jawatan setiausaha perhubungan negeri, manakala Mohamed Fauzi Noordin kekal sebagai penolong setiausaha.

Dua lagi penolong setiausaha merupakan muka baru iaitu, Lim Boo Chang dan M Nyanasegaran.

Mustafa Kamal menggantikan exco kerajaan negeri, Abdul Malik Kassim dalam satu rombakan yang dibuat selepas pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos tahun lalu.

Manakala Diong Chong Mee dilantik sebagai timbalan ketua Wanita negeri.

Ketika dihubungi hari ini, Zahrain berkata, mesyuarat perhubungan negeri memutuskan bahawa semua exco kerajaan negeri dari PKR, tidak boleh memegang jawatan tertinggi parti di peringkat negeri.

Katanya, ia melibatkan jawatan pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha dan ketua penerangan.

Mantap prestasi

Menurutnya, rombakan itu bertujuan untuk memantap prestasi jawatankuasa perhubungan negeri.

"Ia dilakukan supaya exco dapat memberi fokus kepada urusan kerajaan negeri," tambahnya.

Bagaimanapun, perubahan drastik mencetuskan andaian bahawa ia ada kaitan dengan prestasi Mohd Fairus yang dikritik oleh banyak pihak, termasuk mendapat teguran ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas mengenainya, Zahrain berkata ia tiada kaitan dengan isu tersebut, sambil menyifatkannya sebagai satu spekulasi semata-mata.

"Saya tidak ada menerima aduan rasmi berhubung perkara itu," katanya.

Beliau mengakui ia adalah keputusannya tetapi telah dipersetujui oleh semua pihak, termasuk Anwar sendiri.

Tidak puas hati

Sementara itu, Bernama memetik Zahrain melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan kerajaan negeri yang tidak berbincang dengan PKR terutamanya mengenai pelantikan penjawat sesuatu jawatan, umpamanya, langkah Ketua Menteri Lim Guan Eng melantik bekas

pemimpin Gerakan Datuk Lee Kah Choon sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif embaga investPenang, iaitu badan pelaburan kerajaan negeri.

"Kita hanya dimaklumkan oleh Ketua Menteri mengenai perkara itu tetapi tidak dibawa berbincang. Jadi, kita mahu supaya beliau ambil kira kedudukan wakil ari PKR," katanya.

Pada mesyuarat malam tadi, PKR bersetuju supaya jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan juga Majlis Perbandaran Seberang Perai, ahli majlis serta pegawai daerah disandang oleh orang politik.

Zahrain berkata PKR merancang mengadakan majlis makan malam secara besar-besaran pada Mac ini untuk mencari dana parti dan juga akan menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina di Dewan St Anne di sini pada 1 Februari ini.

ADS