Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pemuda Umno Johor, Datuk Razali Ibrahim berkata, tindakan membubarkan sayap-sayap penting tidak akan menyelesaikan masalah politik wang dalam parti itu.

Sebaliknya, kata ahli parlimen Muar, parti perlu melihat lebih luas punca-punca yang menimbulkan politik wang dalam Umno.

Semalam pengerusi lembaga disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Ritahuddeen Ismail menyarankan sayap-sayap Pemuda, Wanita dan Puteri wajar dipertimbangkan untuk dimansuhkan bagi mengawal gejala buruk tersebut.

"Saya terkejut, kenyataan Tengku itu bunyinya macam nak bubarkan Umno sahaja.

"Tidak wajar (dimansuhkan) kerana politik wang, kita hendak membubarkan Umno, kerana kita perlu lihat lebih luas punca berlakunya perkara tersebut," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Sementara bendahari Umno Melaka, Latipah Omar berkata, kenyataan Tengku Ahmad Ritauddeen itu boleh diumpamakan seperti "marahkan nyamuk, kelambu dibakar."

Katanya, ahli-ahli Wanita Umno tidak terlibat dengan politik wang, jadi ia tidak perlu membabitkan pergerakan itu.

"Mengapa libatkan Wanita sedangkan orang lain yang buat (politik wang)?" katanya.

Latifah bimbang kenyataan sedemikian rupa boleh memberi kesan negatif kepada parti.

"Saya rasa pucuk pimpinan Umno meneliti kenyataan itu supaya ia tidak memberi kesan yang lebih buruk kepada parti," katanya.

Ketua Puteri Kelana Jaya, Hor Hazlin Ahmad pula berkata, membubarkan sayap-sayap Umno tidak akan menyelesaikan masalah politik wang dalam parti itu.

Katanya, politik wang berlaku kerana ada pihak yang memberi rasuah untuk menaikkan kedudukan politik mereka.

"Mengapa sayap-sayap Umno yang dipersalahkan sedangkan ia tidak ada kena-mengena politik wang dalam parti," katanya.

ADS