Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bersih sungai Kelang projek rangsang ekonomi S'gor
Diterbitkan:  Mar 5, 2009 10:52 AM
Dikemaskini: 11:24 AM

Selangor bercadang menjadikan projek pembersihan dan pemulihan Sungai Kelang sebagai satu daripada lima agenda pelan rangsangan ekonomi negeri itu yang akan melibatkan pelaburan RM50 bilion.

Negeri bawah pentadbiran Pakatan Rakyat itu juga berhasrat mengembangkan jaringan sistem pengangkutan keretapi LRT di seluruh negeri.

"Sebagai penyumbang utama ekonomi Malaysia, Selangor percaya ia harus berada di depan dalam usaha membantu merangsang ekonomi negara dan pada masa sama menyerap kesan kemerosotan ekonomi," kata pejabat menteri besar.

Tiga lagi projek yang dirancang:

bullet button Meningkatkan aset air selepas Selangor berjaya mengambil alih pengurusan air daripada Pengurusan Air Aset Berhad (PAAB),

bullet button Memulihkan projek terbengkalai, dan

bullet button Memajukan kawasan-kawasan setinggan termasuk Petaling Jaya dan Kelang.

Projek-projek ini dijangka boleh mencipta 150,000 peluang pekerjaan, kata pejabat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Ini semua fasa pertama pelan baru negeri untuk merangsang ekonomi.

"Kerajaan negeri akan meneliti bidang-bidang lain termasuk meluaskan sistem tanpa wayar dan jalur lebar di seluruh Selangor dan meningkatkan pembangunan di Pulau Indah," kenyataan itu dipetik.

Untuk memastikan pakej rangsangan ini dapat dijayakan, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan, selain mendapatkan pembiayaan swasta dari dalam dan luar negara.

"Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor berharap kerajaan persekutuan akan menyokong semua inisiatif ini kerana kami percaya pembangunan ekonomi harus melangkaui perbedaan politik bagi menjaga kebajikan rakyat," katanya lagi.

Selain pakej itu, Selangor telah melancarkan pendaftaran dalam talian bagi membantu mereka yang menganggur dan diberhentikan kerja.

ADS