FAM boleh menyumbang untuk merancakkan persaingan liga bola sepak negara dengan membentuk pasukan sendiri dan bertanding dengan skuad sedia ada.

Pada pandangan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), itu adalah antara langkah yang boleh diambil pertubuhan induk bola sepak negara dan secara tidak langsug dapat mengatasi alasan ketiadaan persediaan mencukupi setiap kali pasukan Malaysia tewas kepada lawan.

Saranan itu dibuat PBSNT dalam kongres mereka semalam.

Presidennya, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid ( gambar ) berkata, melalui pembentukan pasukan itu terpulang kepada FAM untuk memilih pemain yang dirasakan layak.

"Ini juga dapat mengelak daripada FAM memberi alasan seperti persediaan tidak cukup, latihan bersama pemain dalam jangka masa singkat dan sebagainya setiap kali kalah dalam perlawanan.

"Sudah tiba masanya FAM bentuk pasukan sendiri dan merancakkan lagi saingan liga-liga dalam negara," kata Wan Ahmad Nizam ketika dihubungi Malaysiakini , hari ini.

Tambahnya, pasukan yang ditubuhkan itulah yang akan mewakili Malaysia dalam mana-mana pertandingan.

"Kita tak mahu lagi dengar alasan-alasan lama. FAM kena bersedia dengan team sendiri setiap masa," katanya.

Wan Ahmad Nizam berkata, pihaknya akan menghantar usul yang diluluskan dalam kongres itu dalam masa terdekat kepada FAM.

"Kita akan memanjangkan cadangan untuk tubuhkan pasukan ini kepada FAM dan terpulang kepada mereka untuk menilainya," katanya.

Sementara itu, PBSNT mencadangkan FAM supaya mengkaji balik sama ada perlu mengadakan perlawanan dalam bulan Ramadan pada musim depan.

Kata Wan Ahmad Nizam, sepatutnya FAM membatalkan keseluruhan perlawanan sepanjang bulan Ramadan ini bukan hanya sesetengah negeri sahaja dibenarkan menunda perlawanan.

"Kalau permohonan Kelantan (tunda perlawanan) boleh diterima, mengapa kebenaran menunda perlawanan tidak diberikan kepada semua negeri dan ia perlu dilakukan bagi menghormati bulan Ramadan.

"Kita sepakat untuk menyatakan bantahan kepada FAM berhubung perlawanan bola sepak sepanjang bulan puasa dan kita harap pada musim depan FAM dapat satu keputusan yang terbaik," katanya.