Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Data menunjukkan Malaysia antara negara Asia paling ramai menghidap kencing manis dan kira-kira 5.2 juta daripada penduduk negara ini mengalami masalah tekanan darah tinggi.

Kira-kira 6.2 juta warga Malaysia pula didapati menghidap masalah kolesterol tinggi.

Justeru antara jawapan kerajaan untuk mengatasi masalah itu adalah mengadakan Hari Sukan Negara sebagai salah satu pelaburan untuk mengelakkan kos rawatan tinggi.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata sekiranya semua pihak mahu melihat rakyat negara ini sihat dan cergas ia mesti bermula dengan segenap lapisan masyarakat melakukan aktiviti bersukan.

Dan kata Khairy, ia boleh dimulakan dengan penganjuran Hari Sukan Negara (HSN).

"Ini pelaburan masa depan untuk negara kita dan kesihatan kita. HSN adalah usaha mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama atas satu matlamat," katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena HSN 2015 di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Menteri sudah bosan

HSN 2015 yang julung kali diadakan itu membabitkan penyertaan lebih 17,000 acara dengan lebih empat juta penyertaan di seluruh negara.

Sementara itu, Khairy turut meluahkan rasa jemu beliau setiap kali mendengar perkhabaran mengenai prestasi sukan negara yang teruk.

Sehubungan itu katanya, HSN yang diperkenalkan hari ini diadakan untuk membolehkan kualiti sukan negara dipertingkatkan.

"Saya sudah bosan melihat pasukan bola sepak kita kalah 10 - 0. Kita sudah bosan kerana sudah sekian lama Malaysia masih lagi belum menang pingat emas dalam temasya Olimpik‎.

"Jadi antara jawapannya (HSN ini) adalah untuk menjadikan Malaysia‎ negara sukan. Kalau lebih ramai rakyat kita terlibat dalam sukan, lagi mudah untuk kita cari bintang-bintang sukan bagi masa akan datang," katanya.

Tambah Khairy, beliau selalu ditanya di mana akan dicari pengganti Datuk Lee Chong Wei‎, penganti Datuk Nicol David, Azizul Hasni dan pengganti atlet yang ada hari ini sekiranya rakyat tidak bersukan.

"‎Maka pada hari ini, hari yang simbolik kita cuba ramaikan lagi rakyat Malaysia yang cergas dan bersukan.

"Hari ini rakyat Malaysia hanya 40 peratus terlibat dalam aktiviti kecergasan dan bersukan berbanding negara maju lebih daripada 70 peratus," katanya.

Lihat Komen
ADS