Paling Popular
Terkini

Bekas jurulatih kebangsaan Maldives, Velizar Emilov Popov ‎dipilih Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sebagai pengganti D Devan untuk mengendalikan skuad negeri itu.

Perkara itu diumumkan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa pada sidang media, sebentar tadi.

Kata Annuar, Popov, 40, mengikat kontrak dengan Kafa selama setahun.

Pada 2014 Popov dilantik menjadi pengendali kelab Thailand, Suphanburi FC dan membawa pasukan itu menduduki tempat keenam liga tempatan.

Di bawah Popov Suphanburi turut layak - untuk kali pertama dalam sejarahnya - ke separuh akhir Piala FA Thailand.

Annuar berkata, pemilihan Popov dibuat selepas Kafa melihat pengalaman luas jurulatih itu dalam sukan bola sepak Asia.

"‎Pelantikan ini mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh K Devan kerana kita tidak mahu pasukan Kelantan ditinggalkan terlalu lama.

"Bagi saya pengalaman Velizar mengendalikan pasukan di luar negara dan Asean cukup lama.

"Saya fikir dia ada pengalaman untuk membantu pasukan Kelantan," katanya di sidang media di Menara MARA, Kuala Lumpur tadi.

Pengalaman luas di Asean

Malam tadi Malaysiakini melaporkan Devan melepaskan jawatannya sebagai jurulatih Kelantan dengan memberikan alasan peribadi sebagai punca.

Bagaimanapun difahamkan berlaku "gangguan" terhadap tugasnya melatih pemain Kelantan.

Selepas mengharungi 10 perlawanan, Kelantan kini berada di kedudukan keenam Liga Super dengan pungutan 12 mata hasil tiga kemenangan dan tiga seri.

Pendahulu liga ialah Felda United yang mengumpul 24 mata, manakala pasukan tercorot di tempat ke-12 ialah Sarawak yang mengumpul hanya enam mata.

Melalui pelantikan Popov, Annuar berharap Kelantan dapat menjadi skuad terbaik di masa akan datang.

"Dengan pengalaman beliau kita sasarkan Kelantan boleh berada dalam kelompok empat pasukan terbaik Liga Super.

"Kelantan sudah terlepas Piala FA. Jadi untuk Piala Malaysia sasaran kita ialah sekurang-kurangnya ke separuh akhir," kata Annuar.

Sementara itu Popov berkata, beliau ‎akan cuba memberi yang terbaik untuk membantu Kelantan memburu kemenangan dalam setiap perlawanan.

"Saya bersedia mengambil risiko dan saya akan mencuba yang terbaik untuk merealisasikan impian Kelantan," katanya.

Ditanya persediaan menghadapi tekanan khususnya daripada penyokong Kelantan, Popov berkata dia yakin untuk menyahut cabaran berkenaan.

"Ya sudah tentu (berani), kalau tidak, saya takkan berada di sini," katanya.

Lihat Komen
ADS