Paling Popular
Terkini

Berdepan kemungkinan dipotong mata atau lebih serius, disingkir daripada Liga Super tidak menggoyang kesungguhan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa)‎ meneruskan cabaran walaupun dihimpit pelbagai masalah.

Di sebalik risiko itu Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa‎ malah 'mengalu-alukan' FAM dan Football Malaysia Limited Partnership (FMLLP) mengambil tindakan itu terhadap mereka.

"Saya mengalu-alukan jika mereka rasa itu (menghukum Kelantan) adalah tindakan wajar," katanya semalam.

Annuar bagaimanapun menegaskan, jika itu berlaku ia hanya menegaskan lagi masalah yang sedang dihadapi bola sepak negara ini.

Kata anggota parlimen Ketereh itu, pihak yang berkuasa dalam sukan bola sepak barangkali terlupa bahawa setiap pasukan yang terbabit dalam liga kendalian mereka adalah sebahagian daripada penyumbang yang menjayakan sukan berkenaan.

"Inilah masalah bola sepak Malaysia, mereka lupa pasukan-pasukan (yang bertanding) adalah stakeholders.

"Mereka terlalu fikirkan soal hendak ambil tindakan," katanya.

Tarikh tamat hujung bulan

Annuar ditanya media mengenai kenyataan FMLLP yang memberi amaran akan bertindak ke atas mana-mana pasukan yang gagal melunaskan tunggakan gaji pemain atau pegawai masing-masing.

Kelantan adalah antara pasukan yang masih dibelenggu tuntutan gaji daripada pemainnya.

Untuk makluman, FMLLP adalah entiti swasta yang diberi hak mengendalikan liga bola sepak Malaysia.

Tarikh akhir diberi FMLLP kepada Kafa untuk menjelaskan tunggakan gaji kepada bekas pemainnya ialah pada 31 Mei ini.

Bercakap di sidang media di ibu negara semalam, Annuar juga melahirkan rasa kecewa terhadap sikap FMLLP dan FAM yang suka menghukum.

Menurut beliau, badan induk bola sepak negara hanya mahu memberi hukuman sebaliknya tidak mempedulikan masalah dihadapi pasukan.

"Jangan sampai saya buka mulut seperti TMJ (Tengku Mahkota Johor) , cukuplah beliau seorang lantang mengkritik kepincangan FAM," katanya.

Pada masa sama Annuar berharap FAM dan FMLLP dapat meluangkan masa untuk duduk dan mendengar masalah pasukan yang gagal membayar tunggakan gaji, dan bukannya terus bercakap kepada media serta memutuskan hukuman.

"Mereka tidak pernah mahu mendengar masalah yang kita hadapi tapi sebaliknya memilih untuk menyalak di media, itu tidak adil buat kami.

"Sedangkan siapa FAM tanpa pasukan-pasukan negeri? ‎Mereka perlu ingat pasukan dan kelab negeri adalah penyumbang kewangan dan imej bola sepak negara.

"Kalau tanpa kami, FAM dan FMLLP tidak bermakna apa- apa. Persepsi buruk itu harus ditukar," katanya.

Tambah Annuar, semua pihak sepatutnya saling membangunkan bola sepak Malaysia dan bukan saling menjatuhkan.‎

Justeru katanya, menghukum pasukan bukan jalan terbaik sebaliknya FMLLP perlu melakukan sesuatu untuk mengangkat martabat bola sepak negara menerusi etika pengurusan yang baik.

"Jangan lupa kami adalah pihak berkepentingan yang mengeluarkan pelaburan. Secara kolektif, 12 pasukan di Malaysia melabur hampir setengah bilion ringgit setahun.

"Tanpa kami, FAM dan FMLLP tiada apa-apa. Mereka perlu bekerja untuk kami.

"Bagi saya (ia adalah) rompakan secara terang-terangan apabila anda ambil RM70 juta dan mahu kami cari dan keluarkan wang serta perlu beraksi cemerlang," katanya.

Lihat Komen
ADS