Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Pemacu pena 'panas' TMJ tiada unsur rasuah
Diterbitkan:  Sep 5, 2016 1:33 PM
Dikemaskini: 6:46 AM

Tiga hari selepas diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini agensi berkenaan mengesahkan mereka selesai menyiasat kandungan pemacu pena didakwa memuatkan maklumat mengenai salah laku dalam FAM.

Dalam kenyataan media hari ini Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata hasil penelitian dibuat pegawai agensi berkenaan ia didapati tidak mengandungi sebarang unsur rasuah mengikut Akta SPRM 2009.

"Susulan itu, SPRM akan menghantar satu laporan mengenai siasatan tersebut kepada FAM dalam tempoh terdekat ini bagi proses penambahbaikan dan tindakan persatuan itu khususnya mengenai isu-isu teknikal yang telah dibangkitkan," katanya.

Isu mengenai maklumat didakwa salah laku dan rasuah dalam badan induk bola sepak negara itu mula dibangkitkan Tengku Mahkota Johor (TMJ) pada 18 Julai lalu.

Menurut Tunku Ismail Sultan Ibrahim peranti berkenaan - yang diperolehinya daripada seseorang di Kuala Lumpur - membuktikan berlaku amalan rasuah berpanjangan dalam FAM seawal 30 tahun lalu.

Antara data yang dikatakan ada dalam pemacu pena itu ialah ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, pengambilan duit kelab dan laporan audit yang didakwa “merepek”.

“Apa yang pelik adalah anda semua boleh terima selama ini dan sanggup mempertegakkan 30 tahun korupsi dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya.

Banyak kes lain lagi

Sehari kemudian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan mereka mengalu-alukan penyerahan maklumat berhubung dakwaan rasuah melibatkan FAM.

"Sekiranya terdapat maklumat yang mempunyai asas di bawah kesalahan Akta SPRM 2009, pihak SPRM bersedia mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang," kata kenyataan dikeluarkan pada 19 Julai.

Bagaimanapun pada 22 Julai Malaysiakini melaporkan TMJ membayangkan beliau mahu menyelesaikan isu dakwaan rasuah dalam FAM dengan caranya sendiri.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, masih banyak lagi kes besar di negara ini yang belum mampu diselesaikan agensi antirasuah berkenaan.

Justeru kata Tunku Ismail lebih baik SPRM memberikan tumpuan kepada kes-kes berkenaan.

"Maklumat di dalam pendrive (pemacu kilat) ini adalah hak milik saya. Saya sendiri akan selesaikan isu ini dan sekiranya saya mahu pertolongan SPRM, saya sendiri yang akan memanggil SPRM," katanya dalam status dimuat naik di Facebook Johor Southern Tigers.

Pada 26 Ogos Tunku Ismail dilaporkan menyerahkan pemacu pena didakwanya mengandungi laporan mengenai FAM kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Penyerahan itu dibuat ketika kedua-dua mereka bertemu di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru.

Khairy kemudian menyerahkan peranti itu kepada SPRM pada 2 September dan berharap SPRM dapat mendedahkan kandungan dalam pemacu pena berkenaan selepas siasatan disiapkan.

Azam berkata SPRM juga bersedia memberi kerjasama dengan FAM dan mana-mana pihak dalam hal berkaitan bagi membincangkan isu yang timbul sekiranya melibatkan unsur rasuah.

Untuk makluman selepas merdeka FAM diketuai perdana menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang berkhidmat antara 1958 hingga 1974.

Selepas itu jawatan berkenaan diisi pengganti beliau, Tun Abdul Razak Hussein yang mengepalai FAM antara 1975 hingga 1976.

Tempat itu diganti pula oleh Tan Sri Hamzah Abu Samah (1976 hingga 1983) diikuti Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah (1984 hingga 2014) sebelum baginda berundur.

Jawatan presiden FAM kini disandang anakanda Sultan Ahmad Shah, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sejak 2014.

Lihat Komen
ADS