Belanjawan 2021 yang dianggap menyeluruh dan prihatin rakyat turut menyalurkan manfaat istimewa tertentu kepada Golongan Pertengahan 40% (M40) yang bertindak sebagai satu kesinambungan kepada pelbagai bantuan yang telah mula dilaksanakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sama ada secara langsung atau tidak langsung, golongan M40, selain golongan B40, merupakan salah satu penerima manfaat yang utama melalui PRIHATIN dan PRIHATIN PKS TAMBAHAN (RM260 bilion), PENJANA (RM35 bilion), dan KITA PRIHATIN (RM10 bilion) – yang berjumlah RM305 bilion ataupun 20.7% daripada KDNK, menurut Menteri Kewangan Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Agensi LAKSANA yang berganding bahu dengan lebih 53 agensi kerajaan telah ditubuhkan bagi memastikan perlaksanaan pakej rangsangan dibuat dengan cekap, telus dan berpandukan data,” kata beliau.

Bertemakan ‘TEGUH KITA, MENANG BERSAMA’, Belanjawan 2021 yang bernilai RM322.54 bilion terdiri daripada RM236.5 bilion (73.3%) yang akan disalurkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM69 billion (21.4%) bagi perbelanjaan pembangunan manakala baki RM17 bilion (5.3%) ialah untuk Kumpulan Wang Covid-19, kategori baru.

Habuan cukai bagi M40

Aspek pencukaian adalah antara habuan utama yang memanfaatkan golongan M40, menurut Tengku Zafrul.

“Salah satu inisiatif utama bagi meringankan beban kewangan rakyat semasa tempoh krisis wabak ini ialah penurunan kadar cukai pendapatan. Justeru itu, kerajaan bersetuju agar kadar cukai pendapatan untuk individu pamastautin diturunkan sebanyak 1% bagi pendapatan bercukai RM50,001 hingga RM70,000 setahun yang dijangka memanfaatkan 1.4 juta pembayar cukai,” ujar beliau.

Pelepasan cukai pendapatan individu

“Bagi menggalakkan simpanan hari tua, pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 ke atas caruman Skim Persaraan Swasta atau PRS akan dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2025,” sambung beliau.

Antara insentif cukai yang lain termasuk peningkatan had pelepasan cukai bagi gaya hidup daripada RM2,500 kepada RM3,000; dan pemotongan cukai bagi perbelanjaan yuran penggajian sehingga RM7,000 temasuk kursus ‘up-skilling’ dan ‘self-enhancement’ dalam mana-mana bidang yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

Belanjawan 2021 juga memberi pelepasan cukai sehingga RM1,000 bagi perbelanjaan vaksinasi diri sendiri, pasangan dan anak. Had pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan yang melibatkan kesemua mereka di atas juga dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000.

Had pelepasan cukai bagi perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000. Bagi perbelanjaan rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa, ia juga dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM8,000.

Kelonggaran KWSP

Selain golongan B40, individu M40 yang layak juga boleh menggunakan kemudahan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada Akaun 1, sebanyak RM500 sebulan, selama 12 bulan.

“Permohonan dibuka mulai Januari tahun depan dan ia dijangka melibatkan RM4 bilion keseluruhannya,” kata Tengku Zafrul.

Kemudahan pengeluaran Akaun 1 membantu terutamanya ahli-ahli yang kehilangan pekerjaan sambil meringankan beban kewangan 600,000 ahli yang terjejas. Ia merupakan langkah tambahan kepada kemudahan pengeluaran i-Lestari KWSP (RM500 sebulan selama 12 bulan, jumlah: RM6,000) yang diumumkan pada bulan April yang memanfaatkan 4.7 juta ahli dengan nilai RM11.6 bilion.

Gabungan pengeluaran i-Lestari (RM6,000) dan Akaun 1 (RM6,000) akan memberikan jumlah pengeluaran tunai sebanyak RM12,000 bagi setiap ahli yang layak termasuk golongan M40, yang melibatkan RM15.6 bilion keseluruhannya.

Kerajaan turut mengumumkan penurunan caruman KWSP pekerja daripada 11% kepada 9% selama setahun mulai Januari 2021 sebagai usaha meningkatkan pendapatan boleh guna bagi menampung perbelanjaan semasa yang agak tertekan disebabkan wabak Covid-19.

“KWSP juga akan membenarkan ahli membuat pengeluaran daripada Akaun 2 untuk membeli produk perlindungan insurans dan takaful hayat dan penyakit kritikal bagi diri dan keluarga yang diluluskan oleh KWSP,” kata Tengku Zafrul.

Moratorium pembayaran pinjaman

Golongan M40 yang terjejas akibat pandemik Covid-19 digalakkan untuk memohon fleksibiliti moratorium daripada pihak bank bagi menstruktur semula pinjaman mereka atau menjadualkan semula pembayaran ansuran.

“Untuk peminjam daripada golongan M40, proses permohonan bantuan bayaran balik pinjaman akan dipermudahkan. Peminjam hanya perlu membuat pengisytiharan kendiri atau self-declaration pengurangan pendapatan untuk mendapat bantuan bayaran balik di mana kemudahan ini akan bermula pada Disember 2020," kata beliau.

Pemilikan rumah

Sebagai usaha menggalakkan pemilikan rumah, khususnya bagi pembeli rumah kali pertama, kerajaan memberi pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman pertama yang bernilai sehingga RM500,000.

“Pengecualian ini adalah untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan antara 1 Januari 2021 dan 31 Disember 2025,” satu lagi beriat baik yang disampaikan oleh Tengku Zafrul.

Langkah Ini turut disambut baik oleh presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) En. Soam Heng Choon dengan berkata: “Polisi mesra pembeli ini akan menggalakkan pemilikan rumah pertama kepada rakyat Malaysia terutamanya mereka yang berada dalam kumpulan B40 dan M40 yang selama ini menghadapi cabaran memiliki rumah sendiri. Inisiatif kerajaan ini tepat masanya dan ia akan mendorong rakyat mengambil langkah pertama bagi memiliki rumah.”

Sila klik www.treasury.gov.my untuk butiran lengkap termasuk peruntukan yang lain yang sama-sama memacu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ekonomi.

Apa yang ada dalam Belanjawan 2021? Lebih lanjut di https://newslab.malaysiakini.com/budget2021/en/infographic