Peruntukan kepada KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima peruntukan berjumlah RM31.94 bilion melibatkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM27.22 bilion dan RM4.72 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, berbanding peruntukan 2020 sejumlah RM30.6 bilion yang mana RM27.94 bilion daripadanya adalah untuk perbelanjaan mengurus dan RM2.66 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

2020

2021

Perbelanjaan Mengurus

RM27.94 bilion

RM27.22 bilion

Perbelanjaan Pembangunan

RM2.66 bilion

RM4.72 bilion

JUMLAH Peruntukan

RM30.6 bilion

RM31.94 bilion

“Ini adalah strategi belanjawan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan dengan memindahkan beberapa butiran daripada perbelanjaan pengurusan kepada perbelanjaan pembangunan. Beberapa butiran itu berkait dengan pembiayaan projek jangka panjang,” jelas Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min.

"Ia merupakan strategi dan penambahbaikan dalam belanjawan yang baru. Ini membolehkan KKM mengawal dan memantau peruntukan dan perbelanjaan secara menyeluruh dan lebih efisien bagi semua kemudahan kesihatan KKM," sambung beliau.

Dan aspek Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) masih diberi keutamaan oleh kerajaan demi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat. Kesemua ini adalah selaras dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat yang bertujuan memantapkan amalan gaya hidup sihat bagi mengurangkan risiko menghidapi penyakit diabetes, hipertensi dan obesiti.

Menurut Chen, sejak dahulu lagi KKM merupakan antara kementerian yang menerima peruntukan tertinggi selepas Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kewangan, dengan ‘trend’ semakin meningkat seperti contoh yang tertera di bawah:

Peruntukan Kepada KKM

2010

2020

RM15.35 bilion

RM30.6 bilion

Peningkatan sebanyak RM15 bilion (hampir 100%) dalam tempoh 10 tahun

Membendung Covid-19

Belanjawan 2021 yang bernilai RM322.54 bilion memperuntukkan RM17 bilion (5.3%) di bawah Kumpulan Wang Covid-19, satu kategori baru khas yang diwujudkan untuk memerangi pandemik tersebut.

“Memahami permasalahan dan keresahan rakyat ialah perkara asas, maka kesejahteraan rakyat kekal kepentingan paling utama dalam belanjawan ini. Strategi pertama ialah perjuangan kita untuk memerangi pandemik Covid-19 dan melindungi kesihatan awam.

"Jadi kita lihat objektif Belanjawan 2021 adalah untuk membendung COVID-19. Kerajaan memperuntukkan RM4 bilion untuk KKM dan ini hanya fokus Covid-19,” ulas Menteri Kewangan Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Beliau turut membawa perhatian kita kepada kesediaan kerajaan di mana parlimen telah meluluskan siling peruntukan RM45 bilion bagi Kumpulan Wang Covid-19, di bawah Akta Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) yang membenarkan had statutori hutang kerajaan dinaikkan sementara sehingga 60% daripada KDNK berbanding 55%.

“Mengambil kira gelombang wabak terkini dan keperluan sehingga tahun 2022, kerajaan bercadang mengemukakan pindaan Jadual Akta tersebut untuk menaikkan siling Kumpulan Wang Covid-19 sebanyak RM20 bilion kepada RM65 bilion. Tujuan utamanya adalah untuk membiayai pakej KITA PRIHATIN, bantuan tambahan bagi kesejahteraan rakyat, keperluan barisan hadapan dan perolehan vaksin kelak,” kata beliau.

“Kerajaan juga komited untuk mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 yang melibatkan kos sebanyak RM3 bilion untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia,” tambah beliau.

Belanjawan 2021 memperuntukkan tambahan RM1 bilion untuk membendung gelombang ketiga serangan Covid-19. Antaranya termasuk:

  • RM475 juta bagi pembelian bekalan reagen, kit saringan dan bahan guna habis khusus bagi kegunaan Kementerian Kesihatan (KKM);
  • RM318 juta untuk peralatan perlindungan diri (PPE) dan cecair pembasmi kuman kepada petugas barisan hadapan KKM;
  • RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi Covid-19; RM50 juta untuk perolehan peralatan, bekalan ujian makmal;
  • Elaun Khas Covid-19 sebanyak RM600 sebulan kepada barisan hadapan KKM sehingga ancaman pandemik ini berjaya diatasi.

RM500 untuk setiap petugas barisan hadapan

“Sebagai tambahan, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian one-off sebanyak RM500 seorang bagi menghargai jasa anggota barisan hadapan KKM yang dijangka memanfaatkan 100,000 petugas kesihatan.

"Sejak Mac lalu, kerajaan telah memberikan Elaun Khas Covid-19 sebanyak RM600 sebulan kepada barisan hadapan KKM dan ia akan diteruskan sehingga ancaman pandemik ini berjaya diatasi," kata Tegku Zafrul ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.

Manfaat pencukaian kepada rakyat

Menurut Tengku Zafrul, bagi menggalakkan rakyat mendapatkan vaksinasi mencegah penularan penyakit, kerajaan bersetuju untuk meluaskan skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan meliputi perbelanjaan vaksinasi seperti pneumokokal, influenza serta Covid-19.

Belanjawan 2021 memberi pelepasan cukai pendapatan bagi penjagaan kesihatan seperti berikut:

  • Pelepasan cukai sehingga RM1,000 bagi perbelanjaan vaksinasi diri sendiri, pasangan dan anak;
  • Had pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan yang melibatkan kesemua mereka di atas juga dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000;
  • Had pelepasan cukai bagi perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000;
  • Bagi perbelanjaan rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa, ia juga dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM8,000.

Program kesihatan awam yang lain

  • Kerajaan akan memperluaskan perlindungan mySalam bagi tuntutan kos peranti perubatan seperti stent untuk jantung atau prostesis di mana setakat 31 Oktober 2020, program ini telah membayar tuntutan berkaitan hospitalisasi dan penyakit kritikal sebanyak RM64 juta kepada 56,000 pesakit, di samping 19,000 individu yang menerima pampasan berjumlah RM11 juta disebabkan Covid-19;
  • Program imunisasi pneumokokal untuk kanak-kanak dengan peruntukan RM90 juta yang dijangka memanfaatkan 500,000 kanak-kanak;
  • RM6 juta untuk perolehan ubat biologik bagi pelbagai jenis penyakit rheumatologi seperti rheumatoid arthritis;
  • RM25 juta bagi program rawatan Peritoneal Dialysis di rumah yang bertujuan meningkatkan kualiti rawatan pesakit buah pinggang serta mengurangkan masa menunggu dan kesesakan di hospital.

Sila klik Belanjawan 2021 untuk butiran lengkap termasuk peruntukan yang lain yang sama-sama memacu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi. 

Apa yang ada dalam Belanjawan 2021? Lebih lanjut di https://newslab.malaysiakini.com/budget2021/en/infographic