Seorang lelaki yang bertugas sebagai tenaga pengajar di sebuah sekolah di Jerantut, Pahang, direman enam hari bagi membantu siasatan kes amang seksual membabitkan seorang pelajar lelaki berusia tujuh tahun.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Nor Azman Yusof berkata, perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 24 tahun itu bermula 30 Okt hingga 4 Nov 2026.

"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku secara berulang kali di kawasan bilik makmal komputer di institusi pendidikan berkenaan.

"Mangsa dikatakan diperlakukan secara tidak senonoh oleh suspek ketika berada di lokasi tersebut.

"Perbuatan suspek terbongkar selepas mangsa memaklumkan kejadian kepada ahli keluarganya pada 27 Okt lalu," katanya dalam kenyataan media semalam.

Nor Azman memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengulas lanjut, dia menegaskan pihak polis memandang serius sebarang kesalahan melibatkan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak.

Dia juga memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan profesional bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil mengikut peruntukan undang-undang.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau mendedahkan identiti mangsa serta pihak terlibat.

"Langkah itu penting bagi menjaga privasi mangsa dan tidak mengganggu kepentingan siasatan," jelasnya.

Nor Azman meminta kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Zulhilmi Badri di talian 016-9014075.