KOLUM | Ponteng Bergaji: Kemewahan yang tidak pernah dikenali rakyat
KOLUM | Dalam kehidupan rakyat biasa, perkataan "ponteng" sentiasa datang bersama akibat. Murid yang sering ponteng sekolah akan dipanggil guru disiplin, dan ibu bapanya pula dipanggil ke pejabat dengan wajah yang lebih pucat daripada anaknya.
Pekerja kilang yang ponteng tiga hari tanpa sebab pula boleh dianggap telah meninggalkan kerja.
Penjaja pasar malam yang ponteng berniaga akan memperoleh pendapatan sifar pada hari itu, dan tapaknya mungkin diduduki gerai jiran sebelah sebelum sempat dia mengucapkan "maaf, saya demam".
Maka apabila akhbar melaporkan bahawa ada wakil rakyat tidak hadir 69 daripada 78 hari persidangan Dewan Rakyat sepanjang 2025, rakyat biasa tentu terpinga-pinga.
Kadar kehadirannya dalam bahasa lain ialah hanya sekitar 11.5 peratus.
Rakyat terpinga-pinga bukan kerana marah, sebab marah itu mudah.
Rakyat terpinga-pinga kerana kagum. Bagaimanakah caranya? Adakah kursusnya? Berapakah yurannya, dan bolehkah dibayar menggunakan simpanan atau pinjaman PTPTN?
Cuba kita bayangkan seorang pengawal keselamatan yang hadir bertugas hanya 11.5 peratus. Dalam setahun, dia hanya muncul di pondok pengawal sembilan hari.
Pada hari ke-10, pengurus bertanya ke mana dia menghilang selama ini.
Dengan tenang dia menjawab: "Saya berada di kawasan, mendekati rakyat."
Datang sekali setahun, keahlian kekal aktif
Saya yakin jawapan itu hanya akan menghasilkan satu dokumen, dan dokumen itu bukan slip gaji.
Sudah tentu ada persamaan di antara rakyat dan wakil rakyat. Setiap ahli parlimen menerima elaun RM400 bagi setiap hari persidangan yang dihadiri. Tidak hadir, tiada elaun.
Di sinilah rakyat dan yang berhormat akhirnya bertemu di titik yang sama.
Namun di sana ada perbezaan kecil. Apabila rakyat tidak hadir, gaji pokoknya turut lenyap. Apabila yang berhormat tidak hadir, gaji pokoknya tetap masuk ke akaun setiap bulan dengan disiplin yang luar biasa.
Malah, gaji itu barangkali lebih rajin hadir daripada tuannya sendiri.
Kita juga perlu bercakap tentang korum. Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi, dan persidangan hanya memerlukan 26 orang untuk diteruskan, iaitu sekitar 12 peratus. Itu pun pernah gagal dicapai.
Pada Okt 2024, ketika belanjawan sedang dibahaskan, hanya 19 orang berada di dalam dewan dan persidangan terpaksa ditangguhkan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/10/4b28efd1bdebfddfdb0499b948424e34.jpg)
Sebagai perbandingan, kenduri kahwin di kampung pun lazimnya mempunyai lebih ramai sukarelawan di bahagian membasuh pinggan. Dan mereka tidak dibayar RM400 pun!
Ada pula yang berhujah bahawa perlembagaan sudah menyediakan perlindungan. Benar. Perkara 52 Perlembagaan Persekutuan membolehkan kerusi seorang ahli diisytiharkan kosong jika dia tidak hadir tanpa kebenaran selama enam bulan berturut-turut.
Namun syaratnya ialah tidak hadir langsung. Hadir sekali sahaja, jam "enam bulan" itu bermula semula dari kosong semula. Peruntukan itu mengingatkan saya kepada keahlian gimnasium: datang sekali setahun, keahlian kekal aktif, dan badan kekal seperti sedia kala.
Speaker Dewan Rakyat pula pernah menegaskan bahawa parlimen bukan sekolah, dan dia tidak berhasrat menjadikan kehadiran anggotanya sebagai wajib.
Pernyataan itu memang benar. Sekolah mempunyai buku kedatangan, guru kelas yang memanggil nama setiap pagi, dan guru disiplin yang ingatannya lebih tajam daripada pangkalan data kerajaan.
Parlimen, nampaknya, hanya mempunyai hansard, dan hansard tidak pernah menelefon ibu bapa sesiapa.
Amanah bukan sekadar di bibir
Saya ingin bersikap adil. Tidak semua ketidakhadiran berpunca daripada kemalasan. Ada wakil rakyat yang uzur, ada yang memikul tugas menteri, dan ada yang memaklumkan ketidakhadiran secara rasmi mengikut peraturan mesyuarat.
Rakyat faham, kerana rakyat juga pernah sakit. Bezanya, rakyat perlu mengemukakan sijil cuti sakit, dan sijil itu akan diteliti oleh bahagian sumber manusia dengan ketelitian seorang pakar forensik.
Tarikh, cop klinik dan tandatangan doktor semuanya disemak, seolah-olah demam itu satu jenayah yang perlu dibuktikan tanpa keraguan munasabah.
Di Jerman, ahli Bundestag yang tidak mendaftar kehadiran akan dipotong elaun. Jika mereka dapat menunjukkan sijil hospital, potongan itu akan dikurangkan.
Maknanya, wakil rakyat di sana juga perlu membawa "MC".
Di Kanada, potongan elaun dikenakan bagi setiap hari seseorang ahli parlimen tidak hadir selama 21 hari dalam satu sesi.
Rakyat Malaysia yang membaca fakta ini pasti tersenyum kerana akhirnya ada negara yang melayan wakil rakyatnya seperti pekerja biasa.
Oleh itu, saya ingin mencadangkan satu skim baru yang adil untuk semua: Skim Ponteng Nasional. Di bawah skim ini, setiap rakyat berhak tidak hadir bekerja sehingga 69 hari setahun tanpa sebarang potongan gaji pokok.
Mereka hanya kehilangan elaun makan mengikut pada hari yang tidak hadir.
Jika majikan bertanya, rakyat hanya perlu menjawab: "Sila rujuk pejabat yang berkenaan."
/file/980/a1d69fefbe7ba0f37753312c2834055e.jpg)
Saya percaya skim ini akan diterima baik oleh rakyat walaupun barangkali kurang popular dalam kalangan majikan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan sistem ekonomi negara secara keseluruhannya.
Sudah tentu skim yang saya cadangkan itu hanyalah gurauan. Rakyat tahu bahawa kerja tidak akan selesai jika pekerja tidak hadir. Jalan tidak akan bertampal, pesakit tidak akan dirawat dan anak-anak tidak akan diajar.
Kerana itulah rakyat hadir walaupun hujan, walaupun jalan sesak, walaupun gaji tidak naik bertahun-tahun.
Mereka hadir kerana mereka faham bahawa amanah bukan sekadar disebut dalam ucapan, tetapi dibuktikan dengan kehadiran.
Namun kisah ini tidak tamat di pintu Dewan Rakyat. Ia berlanjutan hingga ke hari tua melalui satu perkataan yang sangat dirindui rakyat biasa: pencen. Melalui Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, seseorang ahli parlimen yang berkhidmat sekurang-kurangnya 36 bulan - iaitu tiga tahun - layak menerima pencen seumur hidup.
Laporan akhbar menyebut pencen minimum ialah sekitar RM4,000 sebulan, dan jumlahnya boleh mencecah tiga per lima daripada gaji. Lebih menarik, akta tersebut tidak bertanya berapa hari seseorang itu hadir dalam tempoh tiga tahun berkenaan.
Ia hanya bertanya berapa lama ahli parlimen memegang kerusi. Maka secara teori, seseorang boleh hadir 11.5 peratus setahun dan tetap pulang dengan pencen 100 peratus.
Macam kucing menolak ikan
Bandingkan pula dengan rakyat biasa. Penjawat awam perlu berkhidmat puluhan tahun, berpindah dari satu jabatan ke satu jabatan, menghadiri kursus yang tidak diminta dan mesyuarat yang tidak perlu untuk layak menerima pencen.
Pekerja swasta pula tidak berpencen langsung. Mereka bergantung pada simpanan KWSP - yang menurut banyak laporan tidak mencukupi bagi kebanyakan pencarum untuk hidup selesa selepas bersara.
Pemandu e-hailing dan pekerja gig?
Pencen mereka ialah lutut yang masih kuat. Penjaja pasar malam pula, pencennya ialah anak-anak. Itu pun jika anak-anak tidak turut ponteng menjenguk ibu bapa mereka.
Ada lagi satu keajaiban yang jarang difahami rakyat. Seorang ahli politik yang pernah memegang beberapa jawatan - misalnya sebagai Adun, ahli parlimen dan menteri - layak menerima lebih daripada satu pencen.
Bagi rakyat biasa, konsep itu hanya wujud di pasar raya dalam promosi "beli satu, percuma dua".
Perdana Menteri sendiri pernah menyeru bekas wakil rakyat agar secara sukarela memilih satu pencen sahaja.
Seruan itu mulia, tetapi meminta ahli politik menolak pencen secara sukarela adalah seperti meminta kucing menolak ikan goreng secara sukarela. Mungkin ada yang sanggup, tetapi kita tidak perlu menahan nafas menunggunya.
Jika rakyat yang ponteng kehilangan gaji sedangkan wakil rakyat yang ponteng hanya kehilangan RM400 sehari dan pencen seumur hidup tetap menunggunya apabila bersara, maka siapakah sebenarnya yang sedang bekerja untuk siapa?
MOHD FUDZAIL MOHD NOR seorang OKU, penulis dan pemenang anugerah sastera.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/889/SleepingManEmbracingOrnateArmchair_814619.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.