Dengan sebahagian besar negara sekarang dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Nasional (dengan beberapa negeri di Fasa 2), penggunaan tenaga di rumah telah meningkat. Malaysiakini menemuramah sebilangan isi rumah Malaysia untuk mengetahui bagaimana mereka mengatasi cabaran berada di rumah dan apa yang mereka lakukan untuk memastikan penggunaan tenaga agar lebih jimat.

Memang sukar untuk kita duduk diam di rumah saja, kerana kita biasanya perlukan interaksi dengan orang lain. “Kita suka keluar dan bergaul dengan orang lain. Bila duduk di rumah saja, mereka yang sangat aktif bersosial mungkin akan ambil masa nak menyesuaikan diri,” kata Saravanan K.

"Macam mana sekalipun, keselamatan perlu diutamakan, lebih-lebih lagi semasa pandemik ini," tegasnya, sambil dipersetujui oleh yang lain.

"Pandemik ini sangat serius… kita mesti ikut SOP [prosedur operasi standard] yang ditetapkan," kata John Han yang peramah dan dilihat sebagai orang yang suka bersosial.

“PKP [perintah kawalan pergerakan] sememangnya lebih sukar bagi kita yang sudah biasa bekerja di pejabat. Namun, kita mesti patuh kerana PKP merupakan inisiatif yang baik untuk mencegah penyebaran Covid-19,” kata Santy Syazwanie.

Chan Jit Hoong pula bersyukur pekerjaan dan pendapatannya tidak terjejas. Meskipun demikian, setelah berbulan-bulan bekerja dari rumah dan tidak bertemu dengan rakan sekerja ataupun kawan-kawannya, kesejahteraan mentalnya harus diutamakan.

Bekerja ataupun belajar dari rumah, kedua-duanya penuh cabaran.

Saravanan K berkongsi cabaran yang dihadapi anaknya (pelajar Tingkatan 5) kerana Internet yang perlahan di rumah. "Pada awalnya, dia mengalami kesukaran kerana di rumah banyak kekurangan kelengkapan berbanding di sekolah. Tetapi yang penting, keselamatan mesti diutamakan terlebih dahulu. Sekarang dia dah okay."

Situasi bertambah mencabar bagi seisi rumah yang mempunyai ramai individu yang bekerja atau belajar dari rumah. Di rumah SeeToh (tiga generasi), dua orang dewasa yang bekerja di rumah dan dua pelajar remaja sentiasa memerlukan Internet. Jika kelas-kelas dan online meeting diadakan di bilik-bilik yang berlainan, penggunaan tenaga pasti tinggi, terutamanya pada hari-hari yang panas dan penyaman udara dipasang.

Untuk menjimatkan tenaga, keluarga SeeToh mengehadkan penggunaan penyaman udara kepada hari-hari yang sangat panas sahaja. Sebanyak mungkin, mereka berkumpul di satu kawasan/bilik umum untuk belajar/bekerja bagi mengelakkan penggunaan tenaga di tempat-tempat yang berlainan. Suis kipas, lampu dan peranti yang lain dimatikan dengan segera selepas diguna. Keluarga ini juga menggunakan pemanas air bertenaga solar.

Bagi Santy Syazwanie dan Chia Yoa Yan, berkata mereka mengalami peningkatan penggunaan tenaga yang sungguh ketara kerana peralatan-peralatan rumah seperti Wi-Fi, komputer, kipas angin, TV, penyaman udara dan lampu sentiasa dipasang selama tempoh PKP ini."

Oleh itu, mereka kini lebih peka terhadap penggunaan tenaga mereka. "Kami berusaha untuk mengurangkan penggunaan penyaman udara iaitu selama hanya 4-5 jam pada waktu malam. Di waktu siang pula, kami hanya guna kipas,” kata Santy.

Keluarga Chia juga mengesyorkan penggunaan lampu LED kerana LED lebih menjimatkan tenaga berbanding lampu pijar dan pendarfluor.

"Matikan dan cabutkan suis semua peralatan rumah yang tidak digunakan," tambah Santy.

Saravanan dan isi rumahnya yang terdiri daripada tiga orang dewasa yang bekerja, seorang pesara dan seorang pelajar remaja kini juga lebih peka terhadap penggunaan tenaga mereka: "Memandangkan peningkatan penggunaan tenaga yang ketara, kami kini lebih berjimat ketika menggunakan tenaga elektrik," katanya.

Oleh kerana penyaman udara menggunakan banyak tenaga, semua rumah harus meneliti penggunaannya. Penapis udara (filter) penyaman udara harus kerap dibersihkan untuk mengekalkan kecekapannya. Malahan, pengeluar penyaman udara mengesyorkan kita membersihkan penapis udara sekurang-kurangnya sebulan sekali. Kita juga disyorkan untuk menetapkan suhu penyaman udara pada 24°C.

Untuk menjimatkan penggunaan tenaga penyaman udara, adalah disarankan untuk menggunakan mod "kering". Penggunaan tenaga elektrik mod ini jauh lebih rendah dibanding mod “sejuk”. Oleh kerana Malaysia mempunyai kelembapan udara yang tinggi, suhu yang kita rasai adalah beberapa darjah lebih panas daripada suhu sebenar. Mod "kering" boleh mengurangkan kelembapan udara dan rasa panas kita.

Keluarga kecil Mohd Faliq Mustafa Kamal menggunakan penyaman udara hampir setiap hari dan malam, kecuali apabila cuaca sejuk. Tetapi dia ada formula penggunaannya sendiri yang cekap tenaga – hanya satu unit penyaman udara dipasang pada satu masa, dan unit ini dihidupkan hanya selama dua jam setiap kali.

Keluarga Chan yang terdiri daripada empat orang – dua orang dewasa yang bekerja dan dua pesara - hanya mengalami peningkatan penggunaan tenaga sebanyak 10-20% sahaja sewaktu tempoh PKP kerana penggunaan penyaman udara secara jimat semasa bekerja dari rumah.

Sementara itu, persoalan sama ada menghidupkan penyaman udara atau tidak, langsung tidak timbul di rumah Alice Lam dan empat rakan serumahnya. Rumah mereka tidak mempunyai penyaman udara dan televisyen. Mereka mempunyai komputer riba sendiri untuk bekerja. Penggunaan tenaga mereka sudah cukup efisien dan hanya meningkat sedikit semasa PKP ketika mereka semua bekerja dari rumah.

“Salah seorang rakan serumah saya suka memasak. Mungkin kerana itu, bil kami naik sedikit. Tetapi itu bukanlah satu masalah bagi kami malahan kami mendorongnya untuk terus memasak! Kami rela berkongsi kos ramuan dan bergilir-gilir untuk mencuci pinggan selepas itu,” kata Lam.

Apa yang penting ialah mereka memastikan agar peti sejuk mereka kemas supaya aliran udara berfungsi dengan cekap – makanan yang telah luput dibuang manakala makanan yang panas akan dibiarkan sejuk ke suhu bilik dahulu sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk.

Bagi Lam dan rakan serumahnya, pengalaman bekerja dari rumah ini agak seronok dan mereka langsung tidak stres. Sememangnya pergaulan dengan rakan karib dapat menghilangkan tekanan, dan baik untuk kesejahteraan mental seseorang.

Sementara itu, selain mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu, keluarga yang ditemui memanfaatkan PKP dengan meluangkan lebih masa berkualiti bersama.

Santy mengatakan bahawa di luar waktu kerjanya, “Saya mengisi masa saya sepanjang tempoh PKP ini sepenuhnya dengan aktiviti bersama keluarga, terutama dengan anak-anak. Kami juga membuat kerja-kerja rumah, bersenam ringan dan berkebun bersama,” katanya.

Mereka yang mempunyai anak-anak kecil juga telah menjumpai pelbagai kaedah untuk menghiburkan mereka.

Anak perempuan Faliq yang berusia tiga tahun gembira ibu bapanya sentiasa di rumah, apatah lagi mereka lebih sukakan interaksi bersemuka dengannya dan bukan sekadar membiarkannya belajar and dihiburkan oleh TV atau tablet/telefon.

Han juga mengehadkan masa skrin anaknya yang berusia enam tahun, dan ini bukan hanya untuk menjimatkan tenaga. Daripada membazir masa menonton TV dan bermain permainan video, anaknya kini mengisi masa lapang dengan bermain Lego bersamanya.

Mohd Ashraf Abu Bakar dan isteri mempunyai pelbagai aktiviti yang mereka lakukan bersama tiga anak mereka yang berumur 6 hingga 12 tahun, termasuk senaman, bermain catur dan monopoli serta menonton TV bersama. Ashraf sangat gembira anak-anaknya sekarang boleh bermain piano setelah hanya empat bulan belajar melalui aplikasi di iPad dan berlatih menggunakan keyboard.

"Kami menghadapi PKP lebih baik dari yang diharapkan!" katanya.

PKP sememangnya penuh cabaran, termasuk peningkatan penggunaan tenaga di rumah. Jika kita lebih peka terhadap penggunaan kadar tenaga dan menggunakannya dengan lebih cekap, kita boleh mengawal penggunaan tenaga dengan lebih baik, dan seterusnya dapat menikmati lebih penjimatan serta membantu menjadikan Malaysia lebih bersih dan hijau.

Ketahui pengunaan tenaga dan amalkan gaya hidup dengan lebih pintar. Untuk maklumat lanjut dan petua penjimatan tenaga di rumah, layari laman web TNB.

Muat turun aplikasi myTNB untuk membantu anda mengurus dan memantau penggunaan elektrik bulanan anda dengan lebih baik.