'Itu yang kami tunggu’ - Perwakilan Umno terbuka kerjasama BN-PN di SG4
Ketika kemungkinan kerjasama antara Umno dan PAS kembali menjadi perhatian menjelang pilihan raya akan datang, isu berkenaan turut menjadi tumpuan dalam kalangan akar umbi Umno.
Beberapa perwakilan parti yang ditemui Malaysiakini ketika Perhimpunan Agung Umno menyatakan keterbukaan terhadap kerjasama antara BN dan PN, termasuk di empat negeri yang ditadbir PN atau lebih dikenali sebagai SG4.
Bagi mereka, kerjasama itu wajar dipertimbangkan berdasarkan kedudukan semasa politik di negeri terbabit. Ini kerana Umno berdepan cabaran besar untuk mendapatkan semula pengaruhnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah, manakala Perlis juga kekal di bawah pentadbiran PN.
Sebahagian perwakilan berpandangan kerjasama BN-PN boleh membuka ruang kepada Umno untuk kembali bertapak di negeri-negeri berkenaan, walaupun terpaksa menerima jumlah kerusi yang lebih kecil.
Namun, keterbukaan itu tidak dikongsi semua perwakilan. Ada yang masih sangsi terhadap kesediaan PN untuk bekerjasama secara konsisten, manakala sebahagian lain berpandangan sebarang keputusan mengenai kerjasama dan pembahagian kerusi perlu diserahkan kepada kepimpinan tertinggi kedua-dua gabungan.
‘Itu yang kami tunggu’
Bagi Ketua Wanita Umno Kota Bharu, Wan Salmiah wan Abdul Ghani, kerjasama antara “biru dan hijau”, khususnya di Kelantan, merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan.
“Bagi pendapat saya, saya amat setuju kerana apabila ada gabungan Melayu, ini akan lebih menguatkan kesepakatan dan bangsa Melayu sendiri.
“Yang penting, gabungan ini amat dinanti-nantikan oleh beberapa negeri kerana ada negeri, contoh di Kelantan, masih di bawah naungan PAS dalam 30 tahun lebih.
“Jadi apabila ada gabungan seperti ini, amatlah kami nantikan sebab kami inginkan kerjasama antara parti biru dan hijau di Kelantan.
“Sebab saya orang Kelantan, itu yang kami tunggu-tunggu,” katanya ketika ditemui Malaysiakini sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026.
/file/attachments/orphans/hamidi13_462872.jpg)
Ditanya mengenai kemungkinan BN perlu mengalah dalam rundingan pembahagian kerusi dengan PN, Salmiah menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan parti.
“Kita serah kepada pucuk pimpinan. Antara adil dengan tidak, pucuk pimpinan lebih arif dan lebih bijaksana. Kita hanya tunggu apa langkah seterusnya,” katanya.
'Umno perlu realistik'
Sementara itu, perwakilan Pemuda Umno Johor Bahru, Iman Irfan, melihat kerjasama berkenaan dari sudut lebih pragmatik.
Menurutnya, kekuatan PN di negeri SG4 tidak boleh dinafikan dan Umno perlu bersikap realistik mengenai peluangnya untuk mendapatkan kerusi, khususnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Pada saya mudah. Kekuatan PN di negeri SG4 memang tak dapat disangkal lagi. Kita kena realistik.
“Sangat mustahil untuk Umno, lebih-lebih lagi di Kelantan, Terengganu dan Kedah, untuk mendapat kerusi.
“Jadi kerjasama dengan PN di negeri SG4 sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada Umno,” katanya.
Iman berkata jika kerjasama itu membolehkan Umno memperoleh walaupun beberapa kerusi, ia boleh menjadi langkah awal untuk parti itu kembali bertapak di negeri berkenaan.
“Kalau mereka tawarkan tiga ke empat kerusi, sekurang-kurangnya kita boleh bertapak semula di negeri-negeri ini.
“Baik kita bermula daripada satu, dua atau tiga daripada kosong, langsung kita tak boleh dapat,” katanya.
Kembalikan kuasa politik Melayu
Pandangan hampir sama disuarakan veteran Umno Alor Gajah, Sulaiman Daud, 72, yang menyertai parti itu sejak 1978.
“Saya rasa kerjasama itu akan mengembalikan kuasa orang Melayu untuk mentadbir negara ini,” katanya.
/file/attachments/orphans/zahidspeechatumnoagm2026091103_363796.png)
Mengenai pembahagian kerusi di SG4, Sulaiman berkata BN boleh memberi ruang lebih besar kepada PN berdasarkan kekuatan gabungan itu di negeri-negeri berkenaan.
“Saya rasa untuk empat negeri ini biarlah PN tentukan berapa banyak kerusi dia nak bagi pada BN.
“Mungkin ada satu negeri dua, tiga kerusi, tak apa. Sebab negeri lain itu BN akan lebih (kuat) di situ,” katanya.
Ditanya sama ada pendekatan itu bermakna BN perlu mengalah kepada PN, Sulaiman menafikannya.
Sebaliknya, dia berpandangan kekuatan Umno boleh dipertingkatkan melalui kerjasama dengan PN.
“Umno memang dah kuat. Cuma kekuatan itu akan lebih kuat lagi bila bersama dengan PN,” katanya.
Perwakilan Pemuda Umno Putrajaya, Saiful Sulaiman, pula mengambil pendekatan lebih berhati-hati dan berkata sebarang kerjasama perlu bergantung kepada perbincangan antara kepimpinan parti.
Menurutnya, dengan keempat-empat negeri SG4 kini ditadbir PN, BN juga mungkin melihat ruang untuk kembali bertapak.
“Tapi kita akan bergantung kepada perbincangan akan datang. Saya tak berani cakap sebagai perwakilan sebab itu melibatkan kepimpinan tertinggi.
“Tetapi besar harapan kami kalau betul-betul dapat berbincang dan diberi kerjasama antara dua parti mengikut trend ataupun kehendak lokaliti yang terlibat,” katanya.
‘Tak boleh percaya 100 peratus’
Bagaimanapun, tidak semua perwakilan yang ditemui bersetuju dengan kemungkinan kerjasama BN-PN.
Perwakilan Puteri Umno Sekijang, Johor, Siti Nurzawani Zainal, berkata dia tidak yakin dengan PN kerana melihat gabungan itu sebagai tidak konsisten dalam soal kerjasama politik.
“Sebenarnya kalau bagi saya sendiri, saya rasa macam tak setuju sebab PN ini sekejap tenggelam, sekejap timbul.
“Sekejap dia okey dengan kerjasama, sekejap lagi dia cakap lain pula.
“Pada saya dia tidak konsisten. Nak kata nak bantu itu, tak boleh percaya 100 peratus,” katanya.
/file/attachments/orphans/pau2026_502527.jpg)
