Anwar balas sindiran Zahid: Anak didik patut belajar dari guru cara diplomasi
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini membalas sindiran timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi ketika tiba di India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin Brics ke-18.
Dalam hantaran di media sosial, perdana menteri itu membahasakan dirinya sebagai 'guru', dipercayai merujuk kepada sindiran Ahmad Zahid dalam Perhimpunan Agung Umno semalam.
"Alhamdulillah guru selamat tiba di New Delhi, India untuk membawa nama negara di pentas dunia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin Brics ke-18.
"Doakan misi diplomasi negara ini mencapai matlamatnya. Semoga anak didik dapat belajar dari guru cara diplomasi Madani diterjemahkan. Slayyy," katanya dalam hantaran di Threads.
Slay ialah slanga internet yang bermaksud melakukan sesuatu dengan sangat hebat, berjaya, atau kelihatan bergaya.
Semalam, Ahmad Zahid ketika ucapan dasar di Perhimpunan Agung Umno meniru ungkapan yang popular di internet 'guru, hentikan guru' untuk menyampaikan sindiran kepada perdana menteri.
"Cukup, cukuplah guru! Dengarlah suara kami, guru! Dengarlah suara rakyat, wahai guru! Cukup, cukuplah! Insya-Allah kami boleh buat lebih baik daripada yang guru buat," katanya.
Menurut Ahmad Zahid, perubahan dasar ekonomi yang kerap hanya menimbulkan ketidakpastian dan kekeliruan dalam kalangan rakyat, khususnya golongan berpendapatan sederhana.
/file/attachments/orphans/23543423_779192.jpg)
Dia memberi contoh seorang bapa berpendapatan RM5,000 yang perlu menanggung sewa rumah, pendidikan anak, kos perubatan serta berdepan pengurangan kuota Budi.
"Tetapi bila (kerajaan) takut (kehilangan sokongan rakyat), naik lagi (semula kuota Budi). Mungkin selepas itu tarik balik. Kemudian, apabila dekat pilihan raya, naik balik.
"Siapa yang buat ni? Guru," katanya yang disambut ketawa ribuan perwakilan dan tetamu yag hadir.
Walaupun tidak menyebut nama Anwar, ungkapan 'guru-murid' itu dipercayai merujuk kepada rakaman perbualan telefon yang bocor pada 2021, yang didakwa antara Ahmad Zahid dan presiden PKR itu.
Dalam ucapannya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menyindir jenama 'kerajaan Madani' yang diperkenalkan oleh Anwar.
Zahid mempersoalkan bagaimana kerajaan yang dibentuk melalui pakatan perpaduan tiba-tiba diberi slogan yang berbeza.
"Telah dipersetujui bahawa kerajaan harus dipanggil kerajaan perpaduan. Tetapi akhirnya, 'perpaduan nasional' ini ditukar kepada 'kerajaan Madani', yang datangnya entah dari mana," katanya.
/file/attachments/orphans/guru_184782.jpg)
