Selepas Khairy Jamaluddin semalam, Umno Selangor pula hari ini mengambil giliran memuji secara terbuka kebijaksanaan Ahmad Zahid Hamidi dalam memimpin parti dan negara.

Lebih menarik, wakil Umno Selangor itu, Noorazli Said menggunakan jenaka daripada ajaran Kristian Katolik untuk memahamkan perwakilan serta penyokong parti tersebut yang kini bertumpu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Berucap di hadapan ribuan hadirin pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026, Noorazli menceritakan kisah seorang paderi yang memandu kereta Proton Saga bertransmisi manual ketika ternampak seorang biarawati menunggu di perhentian bas.

Paderi itu kemudian menawarkan diri untuk menghantar biarawati tersebut pulang.

Namun, setiap kali paderi terbabit menukar gear, tangannya akan tersentuh paha biarawati tersebut dan dia membiarkan tangannya berada di situ.

Namun setiap kali perkara itu berlaku, biarawati berkenaan mengingatkan paderi tersebut supaya merujuk kepada ayat Mazmur ke-129 yang menyebabkan paderi terbabit menarik semula tangannya.

Sebaik tiba di rumah, kata Noorazli, paderi itu menyemak Bible untuk melihat apa sebenarnya yang terkandung dalam ayat tang dipetik oleh biarawati berkenaan, dan dia terkejut.

“Tuan-tuan nak tahu apa Surah Mazmur ayat ke-129 ni cakap?” katanya bersahaja, “surah Mazmur ayat 129 ni dalam bahasa Inggeris dia cakap – dengan izin – go forth and seek further up and you will find glory.

“Faham ke tak faham ni? Kalau tak faham saya terjemah ke bahasa Melayu. Maksudnya: dia kata, ‘teruskan usahamu kerana semakin ke atas semakin dekatlah kamu dengan kejayaan.’

“Justeru apa yang saya nak bagitahu dari cerita ini ialahlah, we must focus (kita mesti fokus) dan kita kena tahu apa yang kita nak buat,” katanya disambut dengan ketawa orang ramai.

Ungkapan itu – yang merupakan variasi daripada jenaka yang kadangkala dikongsi dalam kalangan penganut Kristian –sebenarnya tidak terkandung dalam ayat ke-129 Mazmur.

Noorazli yang juga Bendahari Umno Selangor kemudian menjelaskan bahawa cerita itu dikisahkan untuk menyampaikan mesej tentang kepentingan ahli Umno kekal fokus dan mengetahui matlamat yang ingin dicapai.

Dia sebelum itu merujuk kepada ucapan yang disampaikan oleh Ahmad Zahid kepada ahli-ahli parti susulan kekalahan BN dalam PRU 2018.

Noorazli berkata ahli-ahli Umno ketika itu berasa hilang semangat akibat kekalahan besar dan pertama kali untuk gabungan itu sehingga menyebabkan rasa malu serta meninggalkan stigma sosial kepada mereka.

Pada PAU yang diadakan selepas kekalahan tersebut, kata Noorazli, Ahmad Zahid ada memberitahu ahli-ahli bahawa Umno akan bangkit semula dan menerajui kerajaan sebelum berakhirnya penggal parlimen.

Katanya ia kedengaran seperti tidak masuk akal namun ia terbukti sebaliknya berdasarkan “kemuncak” penegasan Ahmad Zahid semasa menyampaikan ucapan dasarnya semalam yang dianggap “melengkapi semua” aspek.

“Inilah kematangan politik yang kita – orang muda – harapkan harapkan, iaitu satu guidance, satu petunjuk yang perlu untuk kami ikuti,” katanya.

Seterusnya Noorazli yang juga Ketua Umno Sepang menambah, perwakilan kali ini datang dengan anggapan Ahmad Zahid akan menyampaikan ucapan dasar yang biasa-biasa saja dan tidakl banyak berbeza berbanding tahun-tahun lalu.

Namun, tambahnya, ternyata timbalan perdana menteri itu membawa gagasan yang tidak terfikir oleh penyokong Umno.

“Tetapi ucapan presiden pada kali ini benar-benar membuktikan bahawa inilah perdana menteri yang akan kita nobatkan pada PRU ke-16 nanti, insya-Allah,” katanya.