“Dah guna aplikasi PriceCatcher”?
Berjuta-juta aplikasi pintar membanjiri alam komunikasi sedunia dan setiap aplikasi yang wujud pada telefon pintar anda mempunyai tujuan tertentu sama ada untuk pemesejan, perbankan, ataupun pembelian dalam talian. Pengguna yang memanfaatkan teknologi mudah alih yang semakin canggih mempunyai kelebihan memperolehi pelbagai maklumat terkini di hujung jari mereka termasuk membuat perbandingan harga dan memilih saluran belian.
Teknologi bukan sahaja memupuk kesedaran kepenggunaan, malah menjadikan anda seorang pengguna yang bijak, lebih-lebih lagi ketika hidup rakyat tertekan akibat wabak Covid-19 yang berlarutan. Isu kenaikan harga ayam baru-baru ini yang menjadi perbahasan hangat di kalangan masyarakat sebenarnya membuka mata kita terhadap pendekatan jangka panjang yang boleh dipraktik oleh pengguna. Akses maklumat harga peruncitan dan promosi terkini di hujung jari adalah salah satu kemudahan teristimewa zaman digital ini. Kini terdapat satu aplikasi khas yang dapat membantu anda berbelanja hemat dengan tawaran harga berpatutan di lokasi berdekatan rumah anda.
Ketahui harga terkini di hujung jari
PriceCatcher – aplikasi mudah alih yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaparkan perbandingan harga melibatkan lebih 400 barangan keperluan harian, hasil usaha daripada lebih 1,000 Pegawai Pemantau Harga KPDNHEP yang mengumpul maklumat harian tersebut di premis peruncitan berlainan saiz di suluruh Malaysia, termasuk hypermarket, pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan pasar basah.
Mobile app ini memperkasakan pengguna dari segi membantu menjawab persoalan “Apa Nak Beli” – adakah anda beli untuk memenuhi keperluan/ citarasa/ kesukaan?; “Di Mana Nak Beli” – di manakah premis peruncitan yang berhampiran yang memberi penjimatan?; dan “Bila Nak Beli” – adakah anda lebih cenderung membuat pembelian semasa promosi jualan?
Jadi, harga jualan barangan apakah yang boleh anda rujuk pada PriceCatcher? Aplikasi ini memudahkan carian anda dengan memaparkannya mengikut kategori, iaitu barangan segar, barangan kering, barangan berbungkus/tin/pek/kotak/botol, susu dan barangan bayi, produk kebersihan dan minuman.
Kelebihan “PriceCatcher”
Selain memaparkan harga jualan mengikut premis runcit dengan tawaran harga dari yang terendah kepada yang tertinggi, PriceCatcher memudahkan pengguna membuat carian mengikut kategori, perkataan dan lokasi. Ia diperhebatkan lagi dengan fungsi mengesan lokasi, perbandingan harga berdasarkan item atau bakul barangan (contoh: anda boleh masukkan sehingga 10 barang untuk bandingan harga) serta pandu arah GPS ke premis pilihan anda (contoh: klik MyPeruncit untuk senarai peruncit berhampiran) dengan sokongan aplikasi Waze atau Google Maps. Hasil carian harga dan maklumat promosi (contoh: e-risalah jualan peruncit terkemuka) juga boleh dikongsi melalui WhatsApp, Facebook dan sebagainya untuk memanfaatkan lebih ramai lagi pengguna.
Keupayaan PriceCatcher membantu pengguna menjimatkan wang dan masa dengan perbelanjaan runcit yang lebih teliti dengan memilih premis peruncitan berdekatan yang menawarkan harga berpatutan dan munasabah adalah antara dua manfaat yang paling ketara. Ringkasnya, pengguna dapat membuat keputusan yang lebih wajar dengan melaksanakan hak memilih mereka dengan lebih pragmatik berdasarkan perbandingan harga serta-merta tanpa perlu berkunjung dari kedai ke kedai, di samping menerima maklumat promosi jualan terkini untuk penjimatan yang lebih banyak.
PriceCatcher turut dilengkapi platform e-Dagang untuk memudahkan pengguna membuat pembelian melalui stor atas talian seperti Shopee, Lazada, carousell, mudah.my, dan GoShop. Ia juga menyajikan berita terkini (NewsCatch) berkenaan isu kepenggunaan, peruncitan dan perdagangan. Anda digalakkan mendaftar sebagai rakan KPDNHEP (ahli RK) melalui aplikasi ini dan kongsi carian harga menawan sambil mengumpul mata ganjaran ranking untuk tebus pelbagai hadiah menarik.
Semak, banding, baru beli
Falsafah menjadi pengguna bijak sebenarnya mudah sahaja. Rancang perbelanjaan anda terlebih dahulu mengikut kemampuan, beli secara berstrategi mengikut masa yang sesuai, dan elakkan pembaziran. Dengan PriceCatcher, anda boleh lakukannya dengan pantas dan senang – semuanya di hujung jari anda!
Dengan jumlah muat turun melebihi 130,000 dan semakin popular, PriceCatcher memupuk tabiat berhemat sambil membimbing anda ke arah menjadi seorang pengguna yang bijak berbelanja.
Muat turun PriceCatcher sekarang melalui platform Android (Google Play) atau iOS (App Store). Dan sokonglah barangan tempatan untuk merancakkan ekonomi kita.

