Kerjasama politik, pengampunan Najib antara disentuh tiga sayap Umno
Kerjasama politik, hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan perpaduan dan isu pengampunan bekas perdana menteri Najib Razak antara perkara yang menjadi tumpuan persidangan tiga sayap Umno, Wanita, Pemuda dan Puteri, hari ini.
Hubungan antara Umno - PAS dibahas oleh perwakilan untuk memastikan gelombang biru dapat diteruskan selepas kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Perwakilan menyuarakan sokongan terhadap usaha penyatuan ummah dan mahu isu kerjasama dibincangkan secara berhikmah supaya "episod duka" yang berlaku sebelum ini tidak berulang lagi.
Mereka menegaskan Umno tidak menolak penyatuan ummah, namun kerjasama berkenaan tidak boleh sekadar slogan semata-mata ataupun keghairahan sementara.
Sayap Umno turut menyentuh mengapa mereka tidak lagi "mempertahankan" kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) walaupun masih bersama dalam kerajaan perpaduan.
Malah ketika menyampaikan ucapan dasar, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menjelaskan beberapa tindakan PH yang telah melanggar garis merah menjadikan Umno terpaksa memilih prinsip bertanding kekuasaan.
Tiga sayap Umno itu memberi isyarat jelas bahawa mereka lebih "selesa" bersama PAS ataupun Perikatan Nasional (PN) sebagai rakan kongsi berbanding PH ketika ini.
Soal penyatuan ummah menyaksikan ketiga-tiga sayap senada, selain menegaskan kerjasama dengan PAS perlu berpaksikan kepada keikhlasan demi kepentingan orang Melayu.
Perwakilan juga turut membangkitkan soal isu pengampunan Najib yang akan dibincangkan Lembaga Pengampunan esok.
Ketika membahaskan ucapan dasar perwakilan Wanita ada yang menitiskan air mata mengenangkan bekas presiden Umno yang kini di sebalik tirai besi.
Isu pengampunan Najib disentuh oleh ketiga-tiga sayap Umno yang dalam masa sama mengkritik kenyataan PH berhubung isu ini.
Menegaskan soal pengampunan adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, sayap Umno mengkritik PH yang didakwa cuba mencampuri urusan berkenaan.
Oleh itu, mereka berharap Najib akan mendapat pengampunan dan menjalani tahanan rumah.
Ketika ucapan penggulungan ketiga-tiga sayap, Akmal sekali lagi mencuri perhatian apabila membangkitkan penahanan beberapa pemimpin Umno berkait Tabung Haji (TH).
Menegaskan mereka yang didakwa tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah, Akmal menggesa Pemuda Umno supaya tampil mempertahankan pemimpin parti itu yang berdepan pertuduhan.
"Dah didakwa ni dah bersalah ke belum? Apa kita nak segan? Kita kena sokong pemimpin kita, bagi sokongan moral.
"Jangan rasa kita rendah diri, jangan malu, pemimpin kita belum dibukti bersalah," kata Akmal ketika berucap.
Akmal menjadikan bagaimana pemimpin PKR mempertahankan Anwar Ibrahim ketika berdepan pertuduhan di mahkamah, begitulah juga Umno perlu lakukan bagi mempertahankan pemimpinnya.
/file/attachments/orphans/UMNOOnlineadeasd_627339.jpg)
