KOPERASI Kakitangan PETRONAS BERHAD (KOPETRO), hari ini telah mengadakan sesi kunjungan hormat ke Pejabat Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) cawangan Wilayah Persekutuan, bertempat di Jalan Semantan, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Kunjungan hormat yang dijalankan pada hari ini bertujuan mengeratkan lagi ukhwah dan juga hubungan kerjasama dua hala antara KOPETRO dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia dalam membangunkan industri koperasi di Malaysia.
Menurut Pengerusi KOPETRO, Tuan Haji Khairu Najhan Bin Zainuddin, KOPETRO amat berbesar hati dapat meluangkan masa bersama Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Encik Jaafar bin Ahmad dalam kunjungan yang telah diadakan pada hari ini.

Antara fokus utama perbincangan semasa kunjungan adalah pendedahan Suruhanjaya Koperasi Malaysia kepada KOPETRO mengenai sektor-sektor perniagaan yang yang boleh dijalankan pihak koperasi dalam keadaan ekonomi semasa.
Dalam masa yang sama, KOPETRO telah menerima Anugerah 100 Koperasi Terbaik di Malaysia yang meletakkan KOPETRO sebagai koperasi kelima terbaik di Malaysia bagi tahun 2020. Anugerah telah disampaikan oleh En Jaafar bin Ahmad, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia cawangan Wilayah Persekutuan kepada Tuan Haji Khairu Najhan bin Zainuddin, Pengerusi KOPETRO.
Turut hadir pada sesi penyerahan anugerah adalah Datuk Hj. Abul Razak Bin Hussain, Setiausaha KOPETRO dan juga Tuan Hj. Adam Bin Keling, Bendahari KOPETRO. Upacara penyampaian anugerah dilakukan dalam tatacara serba ringkas dan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan pihak kerajaan.
Kandungan ini disediakan oleh Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad.
Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.
