mk-logo
Pengumuman
Pusingan Peringkat Negeri National Science Challenge 2022 kini bermula
Diterbitkan:  Jul 15, 2022 5:17 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Pusingan Peringkat Negeri bagi National Science Challenge (NSC) 2022 kini bermula dengan 80 pasukan daripada 3895 pasukan berdaftar seluruh negara akan bersaing bagi mendapatkan 20 tempat terbaik untuk ke peringkat separuh akhir pada 27  Ogos 2022. Seterusnya 5 pasukan terbaik akan mara ke peringkat akhir dijadual berlangsung pada penghujung tahun 2022.  

Memulakan pusingan Peringkat Negeri, Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan kerjasama  Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah akan menganjurkan pusingan  berkenaan secara fizikal di Universiti Malaysia Sabah bermula 16 dan 17 Julai 2022. Kerjasama  ini adalah pertama kali diadakan bersama KSTI dalam memberikan pengalaman secara  berhadapan bersama peserta di negeri berkenaan setelah dua tahun NSC diadakan secara  dalam talian.  

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) YB Dato’ Sri Dr Adham Baba, “MOSTI  menerusi ASM pada April lalu telah menandatangani MoU bersama KSTI dengan antara fokus ditekankan adalah usaha memperkasakan pembudayaan STEM di kalangan pelajar di negeri  ini. Justeru, program NSC 2022 dilihat mampu memberikan pendedahan awal dan juga  membina minat golongan muda dalam meneroka pelbagai cabang sains,” 

“KSTI Sabah amat menghargai sokongan diberikan ASM dalam menjadikan Sabah sebagai  negeri pertama bekerjasama dengan ASM untuk menganjurkan program NSC 2022 Peringkat  Negeri secara fizikal. Program sebegini sudah semestinya menyokong usaha KSTI Sabah untuk melahirkan bakat tersedia yang boleh memacu kemajuan negeri ini di masa hadapan,” ujar Setiausaha Tetap KSTI Sabah, Zainudin Aman.  

Sementara itu menurut Ketua Pegawai Eksekutif ASM, Puan Hazami Habib, “Kerjasama  berterusan ini sudah pasti dapat memperkukuh serta meningkatkan tahap perkhidmatan serta  pelaksanaan program yang lebih baik untuk kemajuan negeri berkenaan dan negara amnya. Ini  juga adalah usaha proaktif ASM dalam meningkatkan bakat STEM negara.”

Bagi negeri Sabah, 5 pasukan daripada 4 buah sekolah akan mengambil bahagian untuk  pusingan Peringkat Negeri iaitu Sabah Thsung Tsin Secondary School (2 pasukan), SMK Sung  Siew (1), MRSM Semporna (1) dan SMK Abaka (1). Manakala bagi negeri-negeri lain, pusingan  Peringkat Negeri bakal diadakan pada 20-24 Julai 2022 secara dalam talian. 

Kesemua pasukan ini akan diadili melalui tiga kriteria iaitu persembahan video, pembentangan dan temuramah berkaitan tema tahun ini iaitu ‘Pembangunan Lestari untuk Kesihatan Planet  berteraskan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE)’. Hanya satu kumpulan yang  mengumpul markah tertinggi, akan mewakili setiap negeri ke peringkat separuh akhir dan  seterusnya berpeluang muncul juara.  

Pemenang bagi NSC 2022 Peringkat Akhir akan membawa pulang Piala Pusingan YAB Perdana Menteri dan sijil penyertaan. NSC 2022 mendapat sokongan daripada rakan kongsi  strategik: Young Scientists Network (YSN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),  Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, Majlis Amanah Rakyat (MARA),  CREST, Sasbadi Online Sdn Bhd, Persatuan Mikrobiologi Malaysia, Persatuan Kimia Amerika  (ACS) Malaysia, Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) dan My STEM  Ambassador.


Kandungan ini disediakan oleh Akademi Sains Malaysia.

Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.

ADS