Putrajaya, 24 Jun 2023 - Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO), melalui anak syarikatnya, KOPETRO Trading Sdn. Bhd. memeterai kerjasama strategik bersama Blueshark Ecosystem Sdn Bhd (Blueshark), sebuah syarikat teknologi mobiliti Kenderaan Elektrik (EV) tempatan, dalam majlis penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan di Hotel The Everly, di sini, kelmarin.
Blueshark merupakan sebuah syarikat teknologi EV yang menjadi peneraju dalam penyediaan pemobilitian elektrik dan penyelesaian tenaga di seluruh dunia. Sebagai anak syarikat Malaysia bagi Kumpulan Teknologi Sharkgulf, Blueshark didorong oleh kepimpinan teknologi dengan lebih daripada 130 paten ciptaan yang telah difailkan, Internet Kenderaan (IoV), rakan kongsi pintar, dan inovasi dalam penyelesaian tenaga terbaharu.
Pengerusi KOPETRO, Roslan Abdul Rahim berkata, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk menjadikan teknologi EV yang canggih ini lebih mudah diakses oleh anggota KOPETRO seperti skuter elektrik pintar Blueshark R1 keluaran syarikat tersebut.

“KOPETRO dan Blueshark akan bekerjasama untuk mempromosikan, memasarkan, menguruskan pesanan daripada anggota KOPETRO. Ini termasuk menyokong kempen pemasaran, pengaturan pembiayaan, serta pendidikan dan latihan produk,” ujar Roslan dalam ucapannya.
Tambah Roslan, antara aspek penting pemeteraian perjanjian ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan penerimaan mobiliti elektrik di kalangan anggota KOPETRO dan menggalakkan pemindahan kepada penggunaan kenderaan hijau. Inisiatif ini juga membantu mencapai matlamat kelestarian dan mempercepat peralihan Malaysia kepada ekonomi rendah karbon yang lebih lestari.
Upacara penyerahan MoU tersebut menyaksikan Wan Ahmad Tarmizi Wan Abd Rahman, selaku Pengerusi KOPETRO Trading Sdn. Bhd., bertukar dokumen MoU dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (ASEAN) Blueshark Ecosystem Sdn. Bhd., Jeff Chong.

Menurut Jeff Chong, siri skuter elektrik ‘Blueshark R’ yang telah dilancarkan secara rasmi awal tahun ini, adalah usaha syarikat tersebut untuk membawa penyelesaian lestari dan inovatif kepada pasaran mobiliti bandar, dengan teknologi bateri yang boleh ditukar dan inovasi terbaik dalam kelasnya.
“Kami sangat gembira untuk meneruskan kerjasama kami dengan KOPETRO melalui kolaborasi yang progresif dan bersejarah ini, untuk menjadikan teknologi EV yang paling canggih, ciri-ciri dan estetika yang lebih mudah diakses oleh anggota KOPETRO, dan mewujudkan mobiliti elektrik pintar untuk masyarakat menuju ke masa depan yang lebih hijau dan kehidupan yang lebih baik," ujar Jeff Chong.

Melalui kerjasama ini, anggota KOPETRO yang berminat untuk mendapatkan skuter elektrik keluaran Blueshark ini boleh mendapatkannya pada harga pasaran atau dengan pembiayaan Konsumer-i daripada KOPETRO. Pembiayaan Konsumer-i adalah pembiayaan patuh syariah daripada KOPETRO dengan pembiayaan kadar keuntungan bermula 4.5%* setahun dengan tempoh pembiayaan sehingga 5 tahun.

Ditubuhkan lebih 40 tahun yang lalu, KOPETRO dianggotai lebih 15,000 kakitangan PETRONAS dan anak-anak syarikatnya, diiktiraf sebagai 10 Koperasi Terbaik di seluruh Malaysia. KOPETRO juga menerima anugerah Jenama Terbaik The BrandLaureate SMEs BestBrands Award bagi kategori Riadah - Solusi Percutian dan Pelancongan pada tahun 2022.
KOPETRO turut merangkul dua anugerah berprestij pada tahun 2020 iaitu anugerah oleh The BrandLaureate bagi kategori SMEs Bestbrands e-Branding Awards dan juga Lang International Corporate Titan Awards – Cooperative Icon of The Year 2020.
Baru-baru ini, KOPETRO melancarkan platform dalam talian yang dikenali sebagai proLindung, yang membolehkan pengguna memperbaharui cukai jalan dan takaful kenderaan mereka dengan lebih mudah, cepat dan selamat. Sebagai tarikan, KOPETRO menawarkan diskaun sebanyak RM50 kepada 50 pelanggan pertama yang mendapatkan cukai jalan dan takaful kenderaan melalui laman web www.proLindung.com.my.
Selain Keanggotaan dan Servis Kewangan, KOPETRO juga terlibat di dalam bidang Pelancongan dan Riadah, Makanan dan Minuman juga Perdagangan dan Servis Peruncitan, dan perkhidmatan pajak gadai patuh syariah, ArRahnukita, yang diceburi sejak tahun 2021.
Untuk maklumat lanjut mengenai KOPETRO, layari www.kopetro.com.my atau ikuti akaun media sosial @kopetroberhad di Facebook, Instagram, Youtube dan Twitter.
Kandungan ini disediakan oleh Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO)
