UEM Sunrise jalin kerjasama dengan Greystar untuk projek Bina-Untuk-Sewa, mengukuhkan jenama di Melbourne
UEM Sunrise Berhad (“UEM Sunrise” atau “Syarikat”), telah bekerjasama dengan peneraju global dalam pelaburan, pembangunan dan pengurusan perumahan sewa, Greystar Real Estate Partners, LLC (“Greystar”) untuk membangunkan projek ‘Bina-untuk-Sewa' (BTR) di pinggir bandar dalam-Melbourne di Collingwood.
Ini adalah projek BTR pertama oleh pemaju Malaysia di Australia, dalam usaha untuk mengukuhkan kehadiran kumpulan itu di sana.
Perjanjian tersebut akan menyaksikan Greystar sebagai pelabur dan akhirnya pemilikpengendali pembangunan BTR yang dicadangkan melalui struktur pelaburan dana manakala UEM Sunrise sebagai rakan kerjasama pemaju dan penyerahan. Nilai urus niaga projek ini adalah sekitar AUD 277 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Sufian Abdullah berkata: “Langkah kami ke pasaran bina-untuk-sewa Melbourne yang sedang berkembang pesat ini menandakan lembaran baharu untuk UEM Sunrise, dalam usaha kami melebarkan sayap secara aktif di pasaran Australia. Kami dapati terdapat permintaan yang tinggi untuk projek pasaran bina-untuk-sewa terutamanya apabila orang ramai mahukan lebih banyak pilihan perumahan serta mencari persekitaran berkomuniti buat jangka masa panjang. Melbourne baru sahaja menjadi bandar dengan bilangan penduduk paling ramai Australia, menjadikannya lokasi pelaburan sesuai buat UEM Sunrise di dalam kategori aset.
Tambah beliau: "Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Greystar dan Kota Bandaraya Yarra untuk menghidupkan pembangunan yang menarik ini."
Terletak di 21-53 Hoddle Street (dan tertakluk kepada kelulusan perancangan), pembangunan yang dicadangkan itu dijangka merangkumi kira-kira 400 unit di dua bangunan, dengan gabungan studio dan pangsapuri bersama satu, dua dan tiga bilik tidur yang sesuai untuk kehidupan pelbagai generasi.
Cadangan pembangunan itu juga akan menampilkan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan umum untuk para penghuni termasuk kolam renang, gimnasium, bilik wayang, ruang kesihatan dan hiburan, tempat letak basikal, stesen mengecas kenderaan elektrik, kaunter perkhidmatan rencam dan ruang kerja bersama.

Skim ni dirancang akan merancakkan pinggir timur Collingwood dengan cadangan sebuah dataran bandar awam di tengah-tengah lokasi pembangunan berkenaan, menampilkan kemeriahan pilihan makanan dan minuman, kedai, perkhidmatan penting serta landskap semula jadi. Pautan laluan pejalan kaki baharu juga akan meningkatkan akses dan sambungan antara Jalan Hoddle, Langridge dan Islingston.
Perumahan BTR dibina bagi menyasarkan pasaran sewa. Direka khusus untuk penyewa jangka panjang, rumah BTR memberi mereka kemudahan untuk menyewa di samping mendapat faedah rumah keluarga tunggal. Dengan ciri fleksibel ini, perumahan BTR membolehkan penghuninya duduk di dalam kawasan kejiranan yang bersesuaian dengan pilihan, keperluan dan gaya hidup mereka tanpa terikat dengan beban pemilikan rumah.
Selaras dengan komitmen UEM Sunrise dan Greystar terhadap kelestarian dan mewujudkan komuniti yang sihat dan berkualiti tinggi di sekitar kawasan pembangunan mereka, sebuah kawasan hijau baharu yang luas dan berlandskap akan dibangunkan di atas tapak seluas 5,390 meter persegi (58,017 kaki persegi).
Pembangunan yang dicadangkan tersebut merupakan pencapaian ketiga UEM Sunrise dalam langkah perluasan mereka di pasaran Australia, mengekori pelaksanaan projek utama mereka - Aurora Melbourne Central, sebuah menara mega bersepadu tertinggi di daerah pusat perniagaan utama bandar Melbourne, menggabungkan pangsapuri kediaman gah dan kemudahan eksklusif buat para penghuni, pangsapuri servis destinasi, suite pejabat strata dan tawaran ruang niaga yang unik; serta Conservatory, pembangunan campuran yang menggabungkan kemeriahan bandar dan ketenangan semula jadi, kedua-duanya terletak di Melbourne, Australia.
Dokumen perancangan projek itu dijangka akan diserahkan pada Julai 2023, dan tertakluk kepada perancangan dan kelulusan. Pembinaan dijangka bermula pada pertengahan akhir 2024 dan mengambil masa kira-kira tiga tahun. UEM Sunrise memuktamadkan urusan pembelian tapak di 21-53 Hoddle Street di Collingwood daripada Jowett Properties pada Mac 2021.
Kandungan ini disediakan oleh UEM Sunrise
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/07024bccfe35b97e5b976d2f7eb2438b.jpg)
