KUALA LUMPUR, 10 September 2024 – Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) telah mengumumkan pelancaran Twin Accelerator Programme 2024 yang merangkumi kohort ketujuh Program Pemecut Selangor (SAP24) dan kohort kedua Selangor E-Commerce Xccelerator (ECX24). Program ini bertujuan untuk mengukuhkan ekosistem PKS dan syarikat pemula di Selangor dengan visi untuk melahirkan syarikat bernilai jutaan ringgit yang menyumbang kepada KDNK Selangor.

Sebanyak 50 syarikat startup yang memberi tumpuan kepada Kecerdasan Buatan (AI), Mobiliti Pintar, Penyelesaian Berasaskan Bio, dan Net Zero telah disenarai pendek untuk SAP24. Sementara itu, 50 PKS yang meliputi industri Makanan & Minuman (F&B), Gaya Hidup & Peralatan Rumah, Fesyen & Gaya Hidup, Kesihatan, Kecantikan & Kesejahteraan, dan Kesan Sosial telah disenarai pendek untuk ECX24.
Encik Yong Kai Ping, Ketua Pegawai Eksekutif Sidec berkata: “Kami telah menerima lebih daripada 550 permohonan untuk program SAP24 dan ECX24. Ini menunjukkan minat dan semangat yang tinggi dalam kalangan komuniti keusahawanan sekali gus mencerminkan pengiktirafan Selangor sebagai hab inovasi dan pembangunan perniagaan.”
"Proses pemilihan kami yang teliti bertujuan untuk memberi sokongan kepada usahawan berimpak tinggi dalam membangunkan syarikat berpotensi besar. Tumpuan utama adalah untuk mengenal pasti bakat yang menjanjikan serta perniagaan inovatif yang berupaya berkembang pesat dan menyumbang dengan signifikan kepada ekonomi, sekaligus menjadikan Selangor sebagai peneraju di pasaran global," tambahnya.
Majlis perasmian yang diadakan di Asia School of Business (ASB) Academics turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, bersama-sama dengan YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital, YB Ng Sze Han, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bagi Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti, YBhg. Dato’ Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin, Ketua Pegawai Eksekutif, Affin Islamic Bank Berhad, dan Yong Kai Ping, Ketua Pegawai Eksekutif Sidec.

ECX24 menawarkan program selama 4 bulan dengan modul komprehensif yang merangkumi bengkel perniagaan dan kursus pitching dengan tumpuan pada bidang utama seperti kecerdasan buatan (AI) dalam e-dagang, penjenamaan, strategi pertumbuhan, perkembangan rentas sempadan, analitik data, dan pengurusan kewangan. Kursus ini melatih peserta untuk memperhalusi kemahiran pitching, menghasilkan pitch deck yang efektif, berhubung dengan pelabur, dan mengasah kemahiran pitching mereka.
Sesi bimbingan ECX24 turut menampilkan pemimpin industri seperti Carsome, ZUS Coffee, Secret Recipe, dan The Lego Group. Para mentor ini akan berkongsi kepakaran mereka, menyediakan peserta dengan pengetahuan penting dan strategi berkesan untuk mengembangkan perniagaan mereka dalam era digital.
Pemenang ECX24 akan membawa pulang pelbagai anugerah, antaranya trofi, sijil, wang tunai, dan peluang pelaburan yang menarik. Mereka juga akan berpeluang menyertai program istimewa oleh ByteDance TikTok di Shanghai, China, yang menawarkan akses ke pasaran global, peluang rangkaian dengan pemimpin industri, dan pandangan strategik mengenai trend e-dagang serta pemasaran digital. Selain itu juga, 10 pemenang teratas akan menerima kredit bernilai 30,000 daripada Pos Malaysia, dengan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak RM300,000.
SAP24 disasarkan untuk mempercepatkan pertumbuhan syarikat startup teknologi di Malaysia. Melalui program ini, peserta akan menerima bimbingan, peluang jaringan, dan bengkel, membolehkan mereka mencapai tahap pelaburan dan pengembangan yang lebih tinggi. Selain itu, mereka akan menikmati manfaat seperti perkhidmatan awan, keahlian Kelab CXO, serta peluang untuk mempamerkan produk di Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor ke-9. Mereka juga akan mendapat akses ke tempat ruang kerja fleksibel di Selangor Sandbox 2, promosi kepada pangkalan data Sidec, penilaian nilai, dan peluang kerjasama dengan Selangor Lab.
Sejak pelancarannya, SAP telah menyokong perkembangan 190 syarikat startup, termasuk Nexmind AI, Seed Dream, Borong (atau dikenali sebagai Dropee), GFI Fintech, Entomal, dan banyak lagi. SAP24 tahun ini memperkenalkan lawatan antarabangsa eksklusif untuk peserta terpilih, dengan fokus yang disesuaikan mengikut vertikal perniagaan masing-masing. Syarikat rakan kongsi yang mapan akan menyediakan sokongan yang lebih sistematik serta bimbingan khusus industri, memastikan setiap peserta memaksimumkan manfaat dari pengalaman mendalam ini.

Dengan perkembangan program yang terus memberi impak kepada ekosistem startup dan PKS, kerjasama memainkan peranan penting dalam kejayaannya. AFFIN BANK, sebagai penaja utama Program Twin Accelerator, memperkukuh komitmennya untuk menyokong sektor PKS Malaysia. Selain itu, Invest Selangor Berhad (ISB) bertindak sebagai Penganjur Bersama untuk SAP24, yang mengukuhkan lagi asas inisiatif ini.
Penglibatan rakan industri strategik yang kuat — TikTok Shop sebagai Rakan E-Dagang Strategik, AEON sebagai Rakan Runcit Strategik, Shopline sebagai Rakan Kedai Web Strategik, AWS, NVIDIA, turut memperluaskan capaian dan impak program ini, memastikan ekosistem yang mantap untuk kejayaan keusahawanan.
FIUU sebagai Rakan Pembayaran untuk kedua-dua SAP24 dan ECX24, bersama WORQ sebagai Rakan Komuniti untuk kedua-dua program, Pos Malaysia sebagai Rakan Logistik Strategik menegaskan usaha kolaboratif yang bertujuan memberikan sokongan komprehensif kepada peserta. Kerjasama ini adalah penting untuk memastikan program ini memberikan nilai maksimum dan memacu pertumbuhan mampan bagi PKS dan startup Selangor.
Selain itu, Sidec bertekad untuk memperkukuhkan ekosistem PKS dan syarikat pemula di Selangor, dengan misi menyokong lebih daripada 300 usahawan dalam tempoh lima tahun. Usaha ini memfokuskan pada pemupukan inovasi serta memberi sokongan kepada perniagaan berpotensi tinggi bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan transformasi digital di rantau ini.
Untuk maklumat lanjut mengenai Selangor E-Commerce Xccelerator (ECX24) dan Selangor Accelerator Programme (SAP24), sila layari www.sidec.com.my.
Kandungan ini disediakan oleh Sidec.
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].
