KPJ Healthcare Berhad (“KPJ Healthcare” atau “Kumpulan”) telah melancarkan operasi Klinik Bergerak Waqaf An-Nur (“KWAN”) di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (“HSAJB”) untuk meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan mampu milik dan menyokong perkhidmatan kecemasan untuk orang ramai. Klinik bergerak ini menyediakan rawatan selepas waktu kerja untuk kes bukan kritikal dan bertujuan utnuk mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital.

Pelancaran telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi. Ia merupakan sebahagian daripada kerjasama yang lebih meluas melibatkan Kerajaan Negeri Johor, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (“JKNJ”), Waqaf An-Nur Corporation Berhad dan Pejabat EXCO Kesihatan Negeri Johor.
Turut bersama YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi pada pelancaran itu ialah YB Ling Tian Soon, EXCO Kesihatan Negeri; Dr Haji Mohtar Bin Pungut @ Ahmad, Pengarah JKNJ; Dr Mohamad Nizam Bin Haji Subahir, Pengarah HSAJB; bersama-sama wakil pengurusan kanan dari KPJ Healthcare dan Waqaf An-Nur Corporation Berhad.
Klinik bergerak ini akan beroperasi dari jam 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam, menawarkan konsultasi perubatan, ubat-ubatan asas dan sijil perubatan pada kadar subsidi yang setara dengan yang ada di hospital kerajaan. Klinik ini juga turut menggunakan Sistem Pengurusan Klinik digital KPJ (“CMS”), yang memastikan pengurusan pesakit yang selamat, cekap dan terjamin.
Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare berkata, “Dengan meluaskan akses kepada penjagaan selepas waktu kerja, kami membantu mengurangkan kesesakan di HSAJB sambil memberi khidmat kepada masyarakat dengan lebih berkesan. Ini juga merupakan kali pertama klinik bergerak KWAN beroperasi dalam persekitaran hospital awam di Johor, yang mencerminkan kekuatan kerjasama kami dengan rakan kongsi kerajaan. Ia adalah sebahagian daripada komitmen Sistem Kesihatan kami untuk memberikan lebih banyak perkhidmatan.”
Mula beroperasi pada tahun 2017, perkhidmatan Klinik Bergerak KWAN di Johor kini disokong oleh dua unit mudah alih yang terus berkhidmat untuk komuniti di lokasi sedia ada di seluruh negeri ini. Dengan penambahan HSAJB sebagai pusat perkhidmatan baharu, klinik bergerak kini mencapai lebih ramai pesakit, termasuk mereka yang mendapatkan rawatan di hospital awam.

Sehingga kini, KWAN telah merawat lebih 2.2 juta pesakit di seluruh Malaysia melalui rangkaiannya, termasuk lapan klinik statik, lapan pusat dialisis dengan 192 mesin dialisis dan sembilan unit mudah alih.
Berasaskan prinsip waqaf Islamik, KWAN adalah inisiatif CSR yang disokong oleh sumbangan zakat dan waqaf amal. Ia menyediakan perkhidmatan perubatan berkualiti kepada komuniti yang memerlukan dengan kos yang minimum, tanpa mengira latar belakang, bangsa atau agama.
KPJ Healthcare kekal komited untuk mengembangkan model KWAN di seluruh negara sebagai sebahagian daripada misinya yang lebih luas untuk mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan Malaysia dan memastikan akses kepada semua.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif CSR KPJ Healthcare, layari https://kpjhealth.com.my/CSR.
Kandungan ini disediakan oleh KPJ Healthcare
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]
