UEM Sunrise, DBKL tandatangani MoU memulihkan kualiti Air Tasik di Taman Metropolitan Kepong
KUALA LUMPUR, 13 November 2025 – UEM Sunrise Berhad (“UEM Sunrise”), melalui syarikat kerjasama Mega Legacy (M) Sdn Bhd (“Mega Legacy”), menandatangani Memorandum Persefahaman (“MoU”) dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (“DBKL”), untuk melaksanakan program pemulihan menyeluruh bagi meningkatkan kualiti air di salah satu tasik awam terbesar Kuala Lumpur.
Di bawah MoU tersebut, kedua-dua pihak akan melaksanakan Fasa 2 pelan pemuliharaan tasik yang merangkumi usaha memulihkan keseimbangan ekologi, memperkenalkan sistem rawatan air serta membangunkan strategi penyelenggaraan jangka panjang di Taman Metropolitan Kepong. Program ini turut melibatkan penambahbaikan kemudahan di sekitar tasik bagi menyokong aktiviti rekreasi seperti kayak, perahu naga, larian, berbasikal dan aktiviti kemasyarakatan mesra keluarga.
Sebagai sebahagian daripada komitmen dalam memupuk usaha pemeliharaan alam sekitar dan menyokong pelan pemulihan tasik ini, Yayasan UEM, yang merupakan sayap Kebajikan UEM Group Berhad, telah bersetuju untuk menyalurkan geran bagi membiayai sebahagian kerja-kerja pemulihan Fasa 2.
Pemulihan ini disokong oleh penilaian saintifik. Kajian awal kualiti air telah dijalankan oleh Universiti Malaya pada tahun 2023, diikuti penilaian Fasa 1 pada tahun 2024, untuk menganalisis sedimen tasik, komposisi nutrien dan biodiversiti bagi mengenalpasti penyelesaian teknikal untuk fasa pemulihan seterusnya.
Taman Metropolitan Kepong, yang meliputi kawasan seluas 219 ekar serta tasik berkeluasan 106 ekar, merupakan antara taman bandar terbesar di Kuala Lumpur. Terletak bersebelahan dengan pembangunan Kiara Bay seluas 73 ekar yang dibangunkan oleh UEM Sunrise, inisiatif pemulihan ini menyokong misi DBKL untuk memperkaya ruang hijau bandar, memelihara aset semula jadi serta memperkukuh daya tahan alam sekitar Kuala Lumpur.
Penambahbaikan tasik yang terletak berdekatan dengan hutan simpan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) ini diharap dapat meningkatkan populariti lokasi tersebut sebagai destinasi rekreasi hijau untuk Lembah Klang.

Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur berkata, kerjasama ini mencerminkan usaha berterusan DBKL untuk membentuk bandar raya yang mampan dan inklusif melalui pendekatan 4P, Public, Private, People Partnership. “Sebuah bandar yang hebat bukan sahaja selesa didiami (liveable), malah juga disayangi (loveable). Melalui kerjasama pelbagai pihak ini, kita memulihkan aset awam yang bernilai dan membentuk ruang bersama di mana identiti, warisan dan semangat komuniti dapat berkembang. Tasik Metropolitan Kepong berpotensi menjadi ruang awam yang hidup, meraikan keindahan alam semula jadi, rekreasi dan kebersamaan. Inisiatif sebegini memperkukuh hubungan antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat, membawa kita lebih hampir ke arah bandar yang lebih sihat, inklusif dan bersedia menghadapi masa hadapan.”
Dato’ Sr. Azmar Talib, Pengerusi Mega Legacy dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif UEM Sunrise berkata, melalui Mega Legacy, inisiatif ini memperkukuh komitmen UEM Sunrise dalam membangunkan perbandaran mampan yang mengimbangi pertumbuhan seiring dengan pemeliharaan ekologi. “Tasik ini sentiasa menjadi nadi utama kepada pelan induk Kiara Bay. Tanggungjawab kami adalah untuk mempertingkatkan tasik ini sebagai aset awam yang bersih, selamat dan mudah diakses oleh semua. Kerjasama ini melambangkan komitmen bersama terhadap pembangunan bertanggungjawab dan kesejahteraan komuniti, memastikan tasik ini kekal sebagai persekitaran yang lestari dan bertenaga untuk generasi akan datang.”
Beliau menambah, program ini sejajar dengan rangka kerja kelestarian UEM Sunrise yang berteraskan empat tonggak utama, Planet, People, Communities dan Governance, dalam usaha mewujudkan impak positif yang berkekalan di seluruh pembangunan Syarikat.
Selain kerja-kerja pemulihan fizikal, kerjasama ini turut merangkumi inisiatif pemantauan jangka panjang, pendidikan komuniti serta program kesedaran awam, di samping meneroka peluang kerjasama dengan institusi akademik dan rakan alam sekitar.
Program-program ini menyokong aspirasi Kiara Bay sebagai model pembangunan mampan yang memupuk gaya hidup sihat dan aktif, mempererat hubungan sosial serta menjaga kesejahteraan kehidupan komuniti setempat.
Kandungan ini disediakan oleh UEM Sunrise
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/11/51820b588d9cb01f8a76c42cf8664707.jpg)
