Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
WOGOS dilaksanakan di Pulau Banggi bagi perkukuh pembangunan, keselamatan kawasan terpencil
Diterbitkan:  Nov 24, 2025 4:04 PM
Dikemaskini: 8:04 AM

Program Semarak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bersama Komuniti Pulau Banggi, Kudat hari ini mencerminkan komitmen Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dalam memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kemakmuran rakyat secara saksama.

MINDEF berkata, inisiatif itu mengambil pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WOGOS) yang menekankan akses pembangunan setara, keselamatan yang lebih kukuh dan peningkatan kualiti hidup bagi setiap komuniti tanpa mengira lokasi.

Majlis itu dihadiri oleh Menteri Pertahanan (MENHAN), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang disambut meriah dengan Pertunjukan Tarian Perang dan ditemui lebih 500 orang penduduk Pulau Banggi, Kudat.

Mohamed Khaled menghadiri Program Semarak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bersama Komuniti Pulau Banggi, Kudat selepas melaksanakan lawatan kerja rasmi ke kawasan Operasi PASIR, hari ini.

Turut hadir adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Pahlawan Haji Mohd Nizam bin Jaffar; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim bin Ali serta veteran ATM dan wakil agensi-agensi penguatkuasaan termasuk RELA, APM dan PDRM.

“Program ini adalah merupakan kemuncak kepada lebih 50 aktiviti yang berlangsung di sekitar kawasan Kudat sepanjang tahun ini. 

“Antara aktiviti yang dilaksanakan bersama penduduk adalah gotong royong membersihkan kawasan, aktiviti kerohanian, kesihatan dan pendidikan melibatkan komuniti dan ATM,” kata MINDEF dalam sebuah kenyataan.

Majlis itu menghubungkan ATM dengan penduduk Pulau Banggi secara langsung untuk membentuk komuniti yang selamat dan terjamin.

Tambah Kementerian itu, kehadiran ATM di Pulau Banggi adalah penting bagi mengukuhkan aspek keselamatan setempat yang bukan sahaja meningkatkan keyakinan penduduk untuk menjalani kehidupan harian, malah memangkin pembangunan sosioekonomi mereka. 

Usaha itu dijangka memberi manfaat langsung kepada lebih 20 ribu penduduk melalui peluang ekonomi, kesalinghubungan yang lebih baik serta peningkatan taraf hidup keseluruhan, katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS