Pelaksanaan Program Pembentukan Karakter melalui Kurikulum Persekolahan 2027 adalah tepat pada masanya, seiring cabaran berasaskan teknologi dan sahsiah diri dalam kalangan murid-murid yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini, kata pakar.

Pensyarah Psikologi Pendidikan di Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Mohd Muslim Md Zalli berkata, program itu adalah usaha pencegahan kemerosotan sahsiah, selain menjadi agen pembinaan jati diri utama bagi murid-murid.

“Jika kita lihat trend masalah disiplin sekarang, semakin hari semakin merisaukan. Kes-kes juvana yang direkodkan di seluruh negara dari 2023 hingga Jun 2025 telah mencecah 5,633 kes.

“Angka ini menunjukkan keperluan mendesak untuk tindakan lebih serius yang tidak hanya terhad kepada intervensi, tetapi pencegahan sebelum jumlah itu terus meningkat.

“Ini adalah komitmen jangka panjang Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menangani isu ini, dan saya percaya program ini akan mereka semula sistem pendidikan kita supaya ada keseimbangan dari sudut psikologi, sosiologi dan akademik murid,” katanya. 

Murid-murid yang penyayang dan berempati lahir dari persekitaran yang positif, proaktif dan selamat

Mohd Muslim berkata, perubahan yang dibawa oleh Program Pembentukan Karakter itu tidak hanya memberi impak kepada murid semata-mata, namun kesannya bakal turut dirasai oleh guru-guru dan ibu bapa.

Menurut pensyarah itu, program itu mampu mengubah budaya sekolah untuk bersifat lebih penyayang, beretika dan saling hormat menghormati bagi semua warga sekolah merangkumi murid, guru dan kakitangan terlibat, sekaligus membentuk iklim sekolah yang positif. 

Mohd Muslim menjelaskan, iklim sekolah adalah konstruk penting di sesebuah sekolah kerana ia berupaya memberi kesan langsung kepada kehidupan sosial dan emosi murid, samada generasi murid itu akan menjauh dari nilai-nilai murni atau mendekatinya. 

“Berdasarkan kajian, jika iklim sekolah itu baik dan harmoni, murid-murid akan terkesan dengan pembentukan sosial serta emosi yang stabil lalu masalah-masalah disiplin akan berkurangan.

“Impaknya sangat besar buat murid berisiko dalam memperbaiki sahsiah mereka kerana suasana itu menggalakkan sokongan (proaktif) dan bukan sekadar hukuman (reaktif),” katanya. 

Bagaimanapun, bagi inisiatif itu berjalan lancar, guru-guru dan ibu bapa harus turut memainkan peranan dalam membentuk iklim sekolah yang baik, bermula dengan memutik kepercayaan dalam diri murid-murid, katanya. 

Amin Senin berkongsi bagaimana Kesan Pigmalion mencipta kitaran positif antara warga sekolah bermula dengan satu tindakan seorang guru. (kredit foto: Facebook Amin Senin)

Beliau memetik penulisan mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Amin Senin berkenaan Kesan Pigmalion terhadap murid-murid, khususnya ketika murid tersebut mempunyai rekod disiplin. 

Apabila seorang guru itu meletakkan kepercayaan yang tinggi ke atas anak didiknya, beliau akan bertindak untuk membantu murid tersebut dengan lebih proaktif lalu mempengaruhi tindakan murid itu pula untuk menggapai kejayaan sendiri, ulasnya.

“Sekiranya kita percaya yang murid bermasalah ini boleh berubah, kita akan terus cuba membantu dia dan apabila dia melihat usaha serta kepercayaan kita terhadap dia, dia juga akan mula percaya yang dia boleh berubah sehingga akhirnya, dia berubah. 

“Sebagai seorang pendidik, detik-detik seperti ini yang akan mengubah atau mengukuhkan kepercayaan kami dalam pegangan pendidikan kami sendiri, jadi ia membentuk kitaran yang sihat antara guru dan murid.

“Ini antara elemen penting dalam Program Pembentukan Karakter, iaitu memupuk kepercayaan dan keyakinan dalam murid-murid dan guru-guru supaya warga sekolah dapat membentuk iklim sekolah yang positif,” jelasnya. 

Pensyarah Psikologi Pendidikan di Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI, Dr. Mohd Muslim Md Zalli

Pada 17 Oktober 2025, Bernama melaporkan program itu akan dijalankan selama 60 minit seminggu dan diperuntukkan dalam jadual waktu agar pelaksanaannya terancang dan berfokus. 

Susulan laporan itu, Mohd Muslim berkata beliau memahami sekiranya peruntukan masa dan slot khusus bagi program itu menimbulkan kerisauan dalam kalangan ibu bapa samada ia akan membebankan murid dan menggantikan mata pelajaran sedia ada.

Pensyarah itu menjelaskan, sebagaimana inisiatif kerajaan yang lain, usaha itu juga pasti menemui cabaran tersendiri terutamanya dari sudut operasi.

Beliau berpendapat, KPM perlu mengeluarkan dasar yang terperinci bagi Program Pembentukan Karakter dari sudut objektif, penstrukturan masa dan modul pembelajaran agar guru-guru dapat mencapai matlamat pelaksanaan program itu dan pelajar tidak terbeban.

“Program ini menuntut komitmen pihak sekolah, jadi reaksi awal masyarakat di media sosial dan forum-forum berkaitan itu amat saya fahami.

KPM melalui Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Nooraini Kamaruddin berkunjung ke UPSI pada 24 Julai lalu bagi membentangkan Kurikulum Persekolahan 2027 kepada para pendidik dan pelapis guru sebagai persediaan awal

“Kita dianugerahkan dengan tenaga-tenaga pengajar yang ramai dan sangat berdedikasi dalam pekerjaan mereka, jadi apa yang kita perlukan sekarang adalah garis panduan supaya kedua-dua guru dan pelajar jelas akan sasaran program itu dan boleh mengikutinya,” katanya. 

Tambah Mohd Muslim, Program Pembentukan Karakter itu juga bukan pengganti inisiatif dan subjek sedia ada seperti Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, namun mengisi kelompongan dalam lanskap pendidikan negara buat masa ini. 

Bahkan, beliau berkata elemen program itu sudah diterapkan dalam pelbagai subjek lain seperti Pendidikan Agama Islam, Pendidikan Moral, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah yang mengangkat nilai-nilai murni dalam silibus pembelajarannya.

Program tersebut, menurut pensyarah itu, selari dengan aspirasi KPM untuk melahirkan insan sejahtera yang seimbang dan menyeluruh daripada pelbagai aspek, tidak hanya tertakluk kepada kecemerlangan akademik semata-mata.

Beliau berkata, Program Pendidikan Karakter itu juga mencerminkan kesungguhan di peringkat tertinggi kerajaan untuk membawa perubahan dalam bidang pendidikan negara dan bukan sekadar slogan kosong.