Keperluan memperluas kemahiran dalam sektor pembetungan amat penting memandangkan industri kini berkembang pesat dengan teknologi serta kaedah rawatan yang semakin kompleks. Bagi memastikan sistem pembetungan negara terus kekal berkesan dan mampu memenuhi keperluan masa hadapan, pembangunan tenaga kerja mahir menjadi faktor kritikal dalam menjamin kelangsungan operasi pembetungan pada tahap optimum.

Sebagai syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mengambil langkah proaktif untuk memperkukuh kemahiran dan kompetensi kakitangan serta pemain industri melalui penubuhan pusat latihan teknikal sejak Februari 2006, yang kini dikenali sebagai Asian Sewerage Training, Research & Innovation Centre (ASTRICE). ASTRICE menyediakan latihan merangkumi gabungan teori dan praktikal meliputi aspek utama dalam pengurusan sistem pembetungan. Sejak penubuhannya, ASTRICE terus menjadi platform dalam menyokong pertumbuhan tenaga mahir negara khususnya dalam sektor pembetungan.
Seiring dengan peranan terasnya dalam bidang latihan, ASTRICE juga turut menyokong aspirasi IWK untuk mengembangkan perkhidmatan perunding - Management and Technical Advisory Service (MTSA). Kedua-dua aspek latihan dan perunding ini dilihat saling melengkapi dan perlu bergerak seiring dalam usaha memperkukuh keupayaan teknikal serta pembangunan kompetensi sesebuah organisasi.

Menurut Ketua Pegawai Korporat IWK, Encik Azuan Ahmad Zahdi, “ASTRICE bukan sekadar pusat latihan, malah berperanan sebagai pemacu pembangunan kapasiti yang menyokong perkhidmatan MTSA IWK. Selain melatih kakitangan dalaman, ASTRICE turut menarik penyertaan peserta antarabangsa serta industri di luar sektor pembetungan. Program yang ditawarkan merangkumi aspek teknikal dan bukan teknikal seperti keselamatan dan kesihatan pekerjaan, hubungan pelanggan, pengurusan operasi serta teknologi baharu, sejajar dengan keperluan industri semasa.”
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan menyeluruh yang diterapkan melalui latihan, seminar dan sesi perkongsian ilmu membolehkan ASTRICE berfungsi sebagai platform pemindahan pengetahuan yang menyokong visi IWK sebagai Syarikat Air Sisa Terunggul. Melalui ekosistem pembelajaran ini, IWK bukan sahaja membangunkan bakat dalaman yang berkeupayaan tinggi, malah memperkukuh kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan perunding yang berwibawa di peringkat serantau.

Selari dengan perubahan teknologi, ASTRICE turut meneroka potensi penggunaan teknologi realiti maya (VR) dan juga Kecerdasan Buatan (AI) sebagai pendekatan latihan masa hadapan. VR berpotensi menyediakan simulasi dunia sebenar yang lebih interaktif, realistik dan selamat, manakala AI pula dapat menyokong pembelajaran berasaskan data melalui analisis prestasi, simulasi senario serta cadangan penambahbaikan secara lebih pintar dan pantas.
Pembangunan modal insan yang kompeten kekal menjadi teras kepada kecemerlangan perkhidmatan pembetungan negara. Inisiatif berterusan melalui ASTRICE dilihat sebagai satu pelaburan jangka panjang yang penting dalam memperkukuh keupayaan industri untuk menghadapi perubahan teknologi, automasi dan keperluan operasi yang semakin dinamik.

Kini ASTRICE terus mengukuhkan peranannya sebagai pusat rujukan serantau dalam industri pembetungan. Melalui program mentor IWK bersama utiliti Perumda PALD Banjarmasin dari Indonesia dan Baguio City Environment and Parks Management Office dari Filipina, ASTRICE turut sama-sama terlibat dan berperanan sebagai platform pemindahan pengetahuan, sekaligus mempromosikan keupayaan IWK dalam melaksanakan program latihan bertaraf antarabangsa.
Untuk keterangan lanjut atau prapendaftaran kursus dan program latihan, layari halaman web ASTRICE di https://astriceiwk.carrd.co. ASTRICE adalah penyedia latihan berdaftar di bawah Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRDCorp) di mana semua program latihan boleh dituntut di bawah Skim Bantuan Latihan Khas (SBL-Khas).
Kandungan ini disediakan oleh IWK
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]
