Kaedah pengajaran berpasukan Kurikulum Persekolahan 2027 elak murid tercicir dalam pembelajaran
Kaedah pengajaran berpasukan (co-teaching) meningkatkan fokus dan minat murid ketika sesi pembelajaran, selain memudahkan tenaga pengajar untuk memantau dan memberi sepenuh perhatian kepada anak didik lalu mengelakkan murid tercicir daripada pembelajaran.
Perunding Yayasan Pendidikan Pelajar Melayu (YPPM), Dr. Norliza Abdul Majid berkata, strategi itu menerapkan pendekatan dan kepakaran yang berbeza oleh gabungan dua orang guru untuk membantu murid berkembang dari segi kognitif dan sosioemosi.
Susulan itu, murid bukan sahaja dapat menumpukan perhatian dan bertindak lebih berinteraktif, namun mereka juga berupaya melihat sesuatu konsep dari sudut berlainan, mengasah tahap berfikir aras tinggi dan berfikir secara lebih kritis dan kreatif, katanya.
“Pengajaran berpasukan adalah kerjasama antara guru secara bergilir agar mereka dapat menyampaikan ilmu bersama-sama untuk memastikan murid disokong dan diberikan perhatian optimum, lalu membantu pelajar berkomunikasi dengan lebih baik.
“Hasilnya, pembelajaran akan menjadi lebih sistematik dan menarik, malah pemahaman murid terhadap sesuatu topik itu juga dapat dikukuhkan setelah tumpuan dan hala tuju mereka menjadi lebih terarah,” katanya.

Tambah pakar psikologi pendidikan itu, kaedah pengajaran berpasukan turut menggalakkan penglibatan murid dalam interaksi sosial khususnya sesama rakan sekelas melalui aktiviti yang tersusun dan terancang, mewujudkan suasana pembelajaran yang aktif.
Pada masa sama, menurut Norliza, kaedah pengajaran berpasukan memudahkan pasangan guru untuk bertukar idea, merancang pengajaran bersama dan menghasilkan strategi pengajaran yang pelbagai bagi menjadikan sesi pembelajaran lebih menarik.
Beliau berkata, langkah itu meningkatkan profesionalisme keguruan dan kualiti pengajaran di institusi pendidikan rendah, menengah dan menengah tinggi kerajaan, selain menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan (KPM) iaitu Akses, Kualiti, Ekuiti, Perpaduan dan Kecekapan.
Melalui Kurikulum Persekolahan 2027, Norliza berkata pendekatan tersebut mencerminkan usaha kementerian dalam mentransformasi pendidikan negara bagi meningkatkan kualiti pengajaran.
Beliau berkata, bimbingan dan pemantauan yang diberikan oleh guru melalui kaedah pengajaran berpasukan akan meningkatkan pencapaian akademi seiring dengan pembangunan kendiri murid.

Sungguhpun begitu, perunding psikologi pendidikan itu menjelaskan bahawa pelaksanaan kaedah itu harus dirancang dengan teliti daripada pelbagai aspek khususnya di kala landskap pendidikan negara sedang melalui cabarannya yang tersendiri.
“Kita memerlukan satu pendekatan pedagogi yang relevan bagi memperkukuh sistem pembelajaran yang bersepadu untuk memastikan kaedah pengajaran berpasukan ini berkesan.
“Interaksi dan komunikasi yang terjalin di antara guru dan pelajar perlu dirancang dengan rapi seperti perancangan dan pelaksanaan pengajaran, bahan pengajaran yang bersesuaian serta pemantauan dan penilaian yang perlu diberi perhatian.
“Guru juga perlu didedahkan dengan latihan khusus untuk memahami strategi yang sesuai dan menarik perhatian pelajar, manakala keserasian gabungan antara guru yang mengajar juga merupakan aspek penting bagi memastikan keberkesanan kaedah itu,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/01/b67a84a94b0ea3f88c920bebeef41252.png)
