Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang diluncurkan semalam bertujuan memperkasakan pemain tempatan termasuk dalam Kontrak penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aset Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia memberikan manfaat kepada ekonomi negara antaranya mengurangkan kebergantungan Malaysia  terhadap syarikat pengeluar peralatan (OEM) luar melainkan pembaikan membabitkan aset masih di bawah perlindungan waranti.

“Tiada lagi penglibatan OEM dalam aktiviti MRO. Bahkan, semua aktiviti perkhidmatan MRO mesti dijayakan oleh syarikat tempatan.

“Amat rugilah sekiranya peruntukan besar kepada MINDEF setiap tahun tidak dimanfaatkan untuk membangunkan industri pertahanan negara yang kendiri, lestari dan berdaya tahan.

“Antaranya, dalam setiap perolehan, syarat peratusan kandungan tempatan atau local content akan ditetapkan dengan jelas. Iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran DIPN yang berlangsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur semalam.

Majlis berkenaan yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dihadiri; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari serta Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman.

Menurut Mohamed Khaled, setiap syarikat tempatan yang terlibat hendaklah menunjukkan keupayaan inovasi dan penambahbaikan berterusan yang supaya dapat meningkatkan peratusan kandungan tempatan serta mengurangkan kos.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan ke reruai pameran industri pertahanan

Menurutnya, mana-mana pihak yang terpilih tetapi gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik akan berdepan penamatan kontrak, termasuk syarikat tempatan.

“Jika mereka gagal, kita akan menghentikan kontrak MRO mereka, walaupun mereka syarikat tempatan. 

“Kerana matlamat kita adalah untuk mengutamakan kepentingan negara. Kita akan membuka semula tender, bagi memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan yang benar-benar mampu berinovasi,” katanya.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan akan melaksanakan Program Kolaborasi Industri (ICP) secara agresif melalui DIPN bagi memudahkan pemindahan teknologi yang berkesan yang sejajar dengan keperluan MINDEF dan Angkatan Tentera (ATM).

Menurut beliau, program itu demi memastikan pemindahan teknologi dibuat semata-mata kepada syarikat pertahanan tempatan yang mampu menggunakan serta menghasilkan keputusan sebagai pertukaran pemindahan tersebut.

“Bayangkan, selama bertahun-tahun, sekitar AS$40 juta dolar daripada ICP, tetapi kita belum melihat ada syarikat menjalankan atau memenuhi kejayaan mengeluarkan produk.

“Jadi, kita berubah menjadi lebih ketat kali ini supaya ICP benar-benar dapat melahirkan syarikat pengeluar tempatan produk pertahanan negara.

“Bukan pindah teknologi ke mana-mana syarikat yang langsung tidak mampu memanfaatkan teknologi tersebut,” katanya.

Beliau turut menegaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) memainkan peranan penting sebagai pemangkin pertumbuhan industri pertahanan negara, disokong peruntukan dana kerajaan serta pelaksanaan ICP, termasuk menerusi Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).

Selari dengan pelancaran DIPN, Kementerian Pertahanan turut memperkenalkan Portal Industri Pertahanan yang berfungsi sebagai platform bagi permohonan ICP, geran R&D dan penawaran teknologi berkaitan sektor pertahanan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled mengumumkan beberapa projek pertahanan nasional, antaranya pembangunan satelit pertahanan tempatan, sistem laser pertahanan, keupayaan pembuatan casis kenderaan darat, sistem persenjataan, radar pasif, loitering munition system (dron kamikaze) serta simulator pertahanan.

Beliau menjelaskan, inisiatif tersebut bukan bertujuan menghasilkan sistem persenjataan secara menyeluruh dalam tempoh singkat, sebaliknya sebagai langkah permulaan bagi membangunkan komponen dan perkhidmatan tempatan agar syarikat Malaysia dapat menyertai rantaian bekalan industri pertahanan secara lebih ketara.

“Ini adalah pelaburan strategik demi kedaulatan, keselamatan dan masa depan negara,” katanya.