Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Op Selamat 26: FGV sokong usaha PDRM perkukuh keselamatan jalan raya sempena Aidilfitri

Ketika jutaan rakyat Malaysia bersiap pulang ke kampung halaman sempena sambutan Aidilfitri, aspek keselamatan jalan raya menjadi keutamaan utama apabila jumlah kenderaan di lebuh raya dijangka mencecah sehingga 3.49 juta sehari pada waktu puncak.

Seiring peningkatan aliran trafik yang ketara ini, FGV Holdings Berhad (FGV) dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), telah melancarkan Op Selamat 26 di SOGO Kuala Lumpur baru-baru ini.

Inisiatif ini bertujuan melancarkan trafik dan menyedarkan orang ramai agar lebih berhati-hati. Majlis berkenaan juga menzahirkan sokongan FGV terhadap usaha pihak berkuasa memastikan perjalanan selamat bagi mereka yang pulang ke kampung halaman.

Majlis pelancaran tersebut turut menyaksikan penglibatan pelbagai pihak termasuk wakil agensi penguatkuasaan, sekaligus mencerminkan pendekatan kolaboratif.

2,000 pek bubur lambuk sebagai simbol penghargaan

Sebanyak 2,000 pek bubur lambuk telah disediakan dan diagihkan kepada anggota polis trafik serta orang ramai di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman.

Menurut Ketua Pegawai Komunikasi Strategik FGV Holdings Berhad, Azmi Yaakop, program ini dilaksanakan di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat, “FGV Seikhlas Hati”, sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan anggota polis trafik yang terus komited menjalankan tugas, di samping memperkukuh kerjasama strategik antara sektor korporat dan agensi penguatkuasaan demi kesejahteraan masyarakat.

Tambah beliau, aktiviti memasak bubur lambuk ini turut menggunakan produk keluaran FGV seperti Beras Wangi SAJI Aroma, Gula Prai, Minyak Masak SAJI, Santan SAJI dan Garam Gunung SAJI.

Sumbangan kepada golongan memerlukan

Sumbangan Ramadan turut disampaikan kepada 40 penerima terdiri daripada balu, anak yatim dan Orang Kurang Upaya (OKU), masing-masing menerima wang tunai RM200 serta barangan keperluan harian termasuk beras, minyak masak, ketupat, krimer, gula, garam dan marjerin.

Tidak ketinggalan, seramai 150 anak anggota trafik turut menerima duit raya sebagai tanda keprihatinan terhadap keluarga mereka.

Usaha ini selaras dengan nilai teras FGV dalam kerangka P.R.I.D.E, Kerjasama, Hormat, Integriti, Dinamisme dan Semangat serta menekankan komitmen syarikat terhadap kesejahteraan masyarakat. 

FGV percaya bahawa kejayaan syarikat bukan hanya diukur melalui prestasi kewangan, tetapi juga melalui sumbangan kepada komuniti, terutama di kawasan operasi syarikat.

Dalam menyambut Aidilfitri, FGV berharap sumbangan ini dapat menyebarkan kegembiraan serta meringankan beban penerima, supaya mereka dapat meraikan perayaan bersama keluarga dengan lebih bermakna.

Fokus kawasan berisiko tinggi

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata operasi kali ini membawa tema “Kongsi Perjalanan, Kongsi Keselesaan, Keselamatan Diutamakan”.

Menurut beliau, penugasan anggota dilaksanakan berdasarkan analisis terperinci terhadap kawasan berisiko tinggi yang telah dikenal pasti lebih awal. Berdasarkan analisis tersebut, sebanyak 34 lokasi dikenal pasti sebagai hotspot iaitu kawasan yang berpotensi mengalami kesesakan trafik, manakala 25 lokasi lagi dikategorikan sebagai blackspot, iaitu kawasan yang kerap berlaku kemalangan.

Penganjuran Op Selamat 26 bersama FGV diharap dapat meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya agar lebih berhemah ketika memandu, selain memastikan perjalanan pulang ke kampung berlangsung dengan selamat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS