Vale, peneraju global dalam perlombongan mampan, secara rasmi membuka permohonan bagi Program Biasiswa Teluk Rubiah (TRSP). Kini memasuki edisi terkini, inisiatif berprestij ini menekankan komitmen berterusan Vale di negeri Perak, khususnya dalam usaha melahirkan generasi baharu pemimpin berwawasan dalam komuniti Manjung.
Susulan kejayaan penganjuran sebelum ini, edisi terkini TRSP menawarkan peluang kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Manjung untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pengajian tinggi bertaraf dunia. Program ini juga mengutamakan pembangunan kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah yang diperlukan untuk membina kerjaya di peringkat global, selaras dengan keperluan industri perlombongan dan sektor berkaitan yang kian berkembang.
TRSP bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya merupakan pelaburan menyeluruh dalam pembangunan modal insan. Para penerima biasiswa akan didedahkan kepada persekitaran akademik yang menitikberatkan kelestarian, inovasi dan pemikiran global. Mereka juga digalakkan untuk terlibat dalam pelbagai inisiatif kemasyarakatan, menyumbang kembali kepada komuniti serta mewujudkan impak sosial yang bermakna seiring dengan pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum. Melalui pendekatan ini, program berkenaan memastikan generasi muda lebih bersedia menghadapi landskap industri pada masa hadapan.
Bagi membolehkan pelajar memberi tumpuan sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik, pakej biasiswa yang komprehensif ini merangkumi keseluruhan keperluan pendidikan, termasuk yuran pengajian, elaun sara hidup bulanan, penginapan yang selesa serta kemudahan peralatan teknologi maklumat dan sumber pembelajaran yang diperlukan.
Bagi Vale, TRSP mencerminkan kesinambungan komitmen terhadap pembangunan inklusif. Pendidikan mempunyai keupayaan untuk mentransformasikan komuniti dari dalam dengan membekalkan individu dari sudut pengetahuan, kemahiran dan keyakinan untuk merebut peluang yang lebih baik serta membina masa depan yang lebih terjamin – bukan sahaja untuk diri sendiri, malah untuk keluarga dan masyarakat setempat.
Apabila kebolehcapaian kepada pendidikan berkualiti digabungkan dengan keazaman golongan anak muda yang berpotensi dan berbakat, ia mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan sosial dan ekonomi jangka panjang, sekali gus memperkukuh kesejahteraan individu serta ketahanan komuniti. Selain memberi manfaat kepada ekonomi, pendidikan turut memupuk pemikiran kritis, tanggungjawab sivik dan kepimpinan komuniti – unsur penting dalam pembangunan mampan. Vale berharap agar melalui pengalaman pembelajaran ini, para penerima TRSP akan memiliki pemikiran global serta kepakaran teknikal untuk menerajui industri perlombongan pada masa hadapan.
Seiring dengan itu, pendidikan kekal menjadi teras utama dalam Pelan Pembangunan Komuniti 2.0 (CDP 2.0) Vale. Dengan jumlah pelaburan melebihi RM17 juta yang turut merangkumi inisiatif pembaharuan bandar dan pemerkasaan komuniti, pelan ini dirangka berdasarkan keperluan setempat dengan matlamat meningkatkan taraf hidup masyarakat, selaras dengan nilai, aspirasi dan wawasan jangka panjang komuniti Manjung.
Sehingga kini, program ini telah melahirkan sembilan bakat berpotensi tinggi dalam bidang kejuruteraan dan kewangan. Dua daripadanya telah menamatkan pengajian dan memulakan kerjaya dengan baik, manakala selebihnya sedang meneruskan pengajian dan telah menunjukkan prestasi cemerlang.
Mengulas mengenai impak program ini, para penerima biasiswa menyatakan bahawa TRSP telah menghubungkan aspirasi mereka dengan peluang di peringkat global. Seorang pelajar berkata: “TRSP bukan sahaja membuka peluang, malah mengurangkan beban kewangan yang mungkin menjadi halangan. Peluang untuk belajar di universiti terkemuka tanpa tekanan kewangan membolehkan saya memberi sepenuh tumpuan serta memanfaatkan peluang ini untuk pembangunan diri dan kerjaya masa hadapan. Vale telah melengkapkan kami dengan asas yang kukuh untuk melangkah ke alam universiti dengan lebih yakin dan bersedia.”
Seorang lagi penerima biasiswa TRSP turut menekankan bahawa sokongan kepada pelajar berprestasi tinggi menjadi pemangkin kepada kejayaan: “Peluang untuk mengejar minat saya dengan sokongan daripada peneraju global dalam bidang ini benar-benar mengubah hala tuju kerjaya saya. Ia amat bermakna apabila usaha dan dedikasi kami sepanjang perjalanan akademik diiktiraf dan dihargai. Saya teruja untuk menghubungkan teori dengan pengalaman praktikal, mendalami pengetahuan industri serta mengaplikasikan kemahiran ini untuk menyumbang kepada masa depan industri perlombongan yang lebih mampan dan bertanggungjawab. Suatu hari nanti, saya berharap dapat kembali ke kampung halaman dan menyumbang kepada pembangunan komuniti saya.”
Dalam usaha peralihan industri global ke arah ekonomi rendah karbon, para penerima biasiswa ini dijangka memainkan peranan penting dalam memacu transformasi serta menyumbang kepakaran dan idea ke arah kemajuan yang bermakna, sama ada di peringkat komuniti mahupun global.
Permohonan kini dibuka sehingga jam 11.59 malam pada 30 April 2026. Pelajar boleh mengemukakan permohonan melalui laman web rasmi Vale di pautan ini.
Kandungan ini disediakan oleh Vale Malaysia Minerals.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
