Kompleks kesihatan terbesar di Asia Tenggara mula bertapak di Ipoh
Fasa pertama Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik & Cybernics Kebangsaan PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dengan kos pembinaan sebanyak RM654 juta yang dijangka siap menjelang hujung tahun 2024 bakal menjadi mercu tanda baharu di Perak dan zon utara Semenanjung Malaysia.
Pusat rehabilitasi dan pemulihan bertaraf dunia
Kompleks kesihatan PERKESO berteknologi tinggi tersebut yang bertapak di kawasan seluas 38.5 ekar di Bandar Meru Raya, Ipoh adalah kolaborasi antara Kementerian Sumber Manusia menerusi PERKESO dan Cyberdyne, Japan.

Majlis pecah tanah pusat rehabilitasi cybernics tersebut yang disempurnakan oleh Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia dan Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak – membuka lembaran baharu dalam perkhidmatan rehabilitasi dan pemulihan dengan sokongan teknologi neuro-robotik moden bertaraf dunia.
Susulan kejayaan penubuhan pusat rehabilitasi dan pemulihan sedemikian yang pertama di Melaka sebelum ini, Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik & Cybernics Kebangsaan PERKESO di Ipoh dengan saiz dua kali ganda lebih besar ini mampu menyediakan perkhidmatan rehabilitasi dan pemulihan yang berkualiti tinggi demi kesejahteraan golongan pekerja dan orang awam khususnya penduduk kawasan utara.
Hab perkhidmatan neuro-robotik terunggul di Asia Tenggara
“Projek ini bukan sahaja dapat memperluaskan perkhidmatan rehabilitasi dan pemulihan bertaraf dunia kepada mereka yang memerlukannya, malah berfungsi sebagai hab perkhidmatan neuro-robotik di rantau Asia Tenggara,” kata Saravanan.
Menurut beliau, kompleks rawatan pemulihan tersebut mampu memuatkan sehingga 700 orang pesakit pada satu-satu masa dan mewujudkan kira-kira 400 peluang pekerjaan tetap dengan memainkan peranan penting untuk sama-sama membangunkan sosioekonomi setempat.
Membantu memupuk industri pelancongan kesihatan
“Pusat rehabilitasi yang berteknologikan kepintaran neuro-robotik ini akan menggilap potensi Perak sebagai lokasi pilihan bagi industri pelancongan kesihatan menjelang operasinya nanti,” sambung beliau.
Kenyataan beliau turut disokong oleh Menteri Besar Perak Dato’ Seri Saarani Mohamad kerana projek tersebut bertepatan dengan Tahun Melawat Perak 2025 dan selaras dengan Rancangan Struktur Negeri Perak 2040.
Pada majlis yang sama, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan turut menyampaikan hasrat kementeriannya untuk menubuhkan satu lagi pusat rehabilitasi seumpama ini di Terengganu bagi Pantai Timur.
Pusat rawatan cybernics terbesar di Asia Tenggara
Malaysia merupakan negara keempat di dunia dan yang pertama di Asia Tenggara yang menawarkan perkhidmatan rawatan neuro-robotik terkini yang berteraskan teknologi Cyberdyne. Pusat rawatan cybernics yang sedang dibina di Ipoh ini adalah yang terbesar di luar Jepun.
Kepintaran dan kejituan teknologi neuro-robotik mampu membawa kecekapan terhadap proses pemulihan pesakit dengan menggabungkan keupayaan manusia, robot dan informasi. Teknologi cybernics dicipta khas untuk meningkatkan tahap kefungsian mobiliti anggota badan terutamanya bahagian kaki.
Dengan kata lain, teknologi revolusi ini dapat memanfaatkan pesakit yang mengalami masalah kelumpuhan atau kelemahan anggota kaki atau tangan akibat kecederaan saraf tunjang atau otak seperti strok, kecederaan otak traumatik, sklerosis berbilang, penyakit neuro-degeneratif dan sebagainya.
Konsep pemulihan sepanjang hayat secara holistik
Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik & Cybernics Kebangsaan PERKESO di Ipoh menerapkan konsep pemulihan sepanjang hayat secara holistik, di samping bertindak sebagai Pusat Kecemerlangan yang canggih dan unggul bagi Program Rehabilitasi dan ‘Return To Work’, untuk rakyat Malaysia dan juga warga asing.
Statistik PERKESO menunjukkan bahawa Program Return To Work (RTW) setakat ini telah berjaya memulihkan seramai 45,614 pekerja yang hilang upaya.
Penubuhan pusat rawatan cybernics di Perak turut mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang menyarankan reka bentuk ikonik berkonsepkan budaya Negeri Perak.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Dato’ Zulazlan Abu Hassan, Pegawai Kewangan Negeri Perak; Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia; Profesor Tan Sri Datuk Dr. Hj. Mohamed Haniffa Hj. Abdullah, Pengerusi Lembaga PERKESO; dan Dato' Sri Dr. Mohammed Azman Dato' Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO.

