Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Mengapakah gangguan bekalan air berlaku?
Diterbitkan:  Jul 7, 2022 1:10 PM
Dikemaskini: Jul 19, 2022 10:20 AM

Air nadi kehidupan. Air bersih amat penting dalam kehidupan kita bukan sahaja untuk diminum tetapi untuk menjalankan aktiviti harian seperti memasak, mencuci pakaian, mandi dan sebagainya. Rutin harian biasanya akan terjejas apabila berlakunya gangguan bekalan air. Pengguna terpaksa menadah air, membeli air botol atau mencari sumber air alternatif seperti air bukit dan air perigi jika gangguan bekalan air berlaku, terutamanya jika gangguan air berlaku melebihi satu hari. 

Mengapa gangguan bekalan air terjadi? 

Terdapat dua kategori gangguan bekalan air:

  • Gangguan berjadual – berlaku ketika operator air membuat penyenggaraan loji rawatan air (LRA), penggantian peralatan di LRA atau penggantian paip.

  • Gangguan tidak berjadual – berlaku akibat pencemaran sumber air, paip pecah, kerosakan peralatan di LRA.

Gangguan berjadual

Lazimnya, operator air bertanggungjawab untuk melaksanakan penyenggaraan dan penggantian peralatan secara berkala bagi memastikan sistem dan peralatan berfungsi dengan baik agar air bersih dapat dibekalkan secara berterusan kepada pengguna. Dalam tempoh kerja-kerja penyenggaraan dilaksanakan, LRA akan ditutup dan seterusnya air bersih tidak dapat dibekalkan kepada pengguna. Operator air akan merancang lebih awal tempoh yang diperlukan bagi menyempurnakan kerja-kerja penyenggaraan dan notis akan dikeluarkan kepada pengguna bagi memaklumkan tempoh gangguan bekalan air di kawasan yang terjejas. Notis pemakluman ini akan membantu pengguna membuat persiapan awal. 

Gangguan tidak berjadual 

Pencemaran sumber air

Insiden gangguan tidak berjadual adalah di luar kawalan operator air. Antaranya ia berlaku apabila terdapat kes pencemaran sumber air mentah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, atau kemerosotan kualiti sumber air. Ini menyebabkan LRA yang terjejas terpaksa ditutup kerana LRA tidak mampu untuk merawat air yang tercemar. 

Operasi LRA hanya boleh beroperasi semula setelah kualiti air mentah kembali ke normal dan bebas dari sisa bahan cemar yang boleh menjejaskan proses rawatan dan membahayakan pengguna. Tempoh gangguan tidak berjadual bergantung kepada tempoh masa yang diperlukan untuk mengembalikan kualiti air mentah ke tahap yang selamat untuk dirawat serta tempoh masa untuk merawat dan mengagihkan air kepada pengguna semula. 

Kerosakan peralatan dan paip pecah

Antara faktor lain yang menyebabkan gangguan tidak berjadual berlaku adalah apabila terdapat insiden kerosakan peralatan di loji dan paip pecah/bocor yang tidak dijangka. Punca insiden sebegini adalah disebabkan ketidakupayaan operator untuk melaksanakan penyenggaraan dan penggantian secara berjadual disebabkan oleh kekangan kewangan. 

Berdasarkan data Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) 2020, paip jenis AC sepanjang 42,076 km panjang masih digunakan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. Operator air perlu membuat penggantian paip yang telah usang, terutamanya paip jenis Asbestos Cement (AC) yang telah lama digunakan dan mudah pecah. 

Tempoh gangguan tidak berjadual ini bergantung kepada tempoh masa yang diperlukan untuk membaiki kerosakan peralatan dan menggantikan paip pecah di tapak sehingga air dapat dirawat dan dibekalkan semula kepada pengguna. 

Bagaimanakah kes gangguan bekalan air boleh dikurangkan? 

Operator-operator air perlu membuat perancangan yang terperinci dari segi perbelanjaan modal (capex) untuk pembangunan dan penaiktarafan infrastruktur sistem bekalan air, termasuk peruntukan untuk meningkatkan rizab margin air terawat LRA serta interconnectivity antara LRA. 

Dengan pelaksanaan kerja-kerja tersebut, insiden gangguan bekalan air dapat dikurangkan kerana operator dapat menyalurkan air terawat daripada LRA lain jika LRA tertentu perlu ditutup (untuk penyenggaraan ataupun akibat insiden pencemaran dll.). 

Pelaksanaan penyenggaraan secara berkala juga adalah suatu kewajipan operator air bagi memastikan peralatan di LRA berkeadaan baik dan seterusnya mengurangkan insiden kebocoran paip yang sekaligus akan menyumbang kepada pengurangan insiden gangguan bekalan air. 

Namun demikian, pembangunan, penaiktarafan, pembaikpulihan serta penyenggaraan melibatkan kos perbelanjaan yang besar. Operator air memerlukan pendapatan yang mencukupi untuk menampung keperluan capex bagi mempertingkatkan infrastruktur sistem bekalan air dan perbelanjaan operasi (opex) bagi memastikan LRA beroperasi dengan cekap. Buat masa ini, kebanyakan operator air tidak mampu melaksanakan capex yang telah dirancang akibat daripada kedudukan kewangan yang tidak mampan. Malah ada sesetengah operator yang menghadapi kesukaran membiayai opex seharian. Sehubungan ini, tarif bekalan air yang munasabah amat penting untuk memastikan operator dapat melaksanakan obligasi mereka dalam membekalkan air bersih kepada pengguna. Tarif yang tidak munasabah boleh menjejaskan tahap perkhidmatan operator dan seterusnya tidak dapat menjamin kelestarian bekalan air untuk generasi akan datang. 

Sebagai pengguna, apakah peranan kita? 

Oleh kerana air amat penting kepada kita, pengguna perlu turut memainkan peranan dalam memastikan sumber air terpelihara. Sebagai contoh, pengguna digalakkan untuk melaporkan insiden pencemaran air kepada agensi-agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Alam Sekitar, SPAN atau Badan Kawal Selia Sumber Air Negeri. Melalui sumbangan yang kecil ini, pengguna dapat membantu pihak penguatkuasaan mengatasi masalah besar yang boleh menjejaskan sumber air di negara kita. 

Pengguna dinasihatkan untuk sentiasa mendapatkan maklumat yang terkini dan sahih berhubung pembekalan air daripada operator air. Sekiranya notis gangguan bekalan air dikeluarkan, pengguna boleh membuat persiapan awal seperti menyimpan air yang mencukupi untuk kegunaan isi rumah. 

Pengguna juga harus menggunakan air secara berhemat dan elakkan pembaziran. 

Pengguna juga perlu faham bahawa tarif yang munasabah amat penting bagi menyelesaikan isu bekalan air bersih bagi jangka masa panjang di negara kita. Dengan tarif yang  munasabah, operator air dapat menjalankan kewajipan mereka untuk membekalkan  air bersih kepada penggunanya secara berterusan dan yang paling utama untuk generasi yang akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS