Kuala Lumpur: McDonald's Malaysia menjadi syarikat makanan dan minuman (F&B) pertama dalam negara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memastikan penghantar makanannya dilindungi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).Inisiatif ini membolehkan penghantar makanan McDonald’s yang merupakan Orang

Bekerja Sendiri (OBS) dan tergolong dalam kalangan 20 sektor informal di negara ini, mendapat perlindungan daripada bencana pekerjaan sendiri termasuk kemalangan dan penyakit pekerjaan sendiri.

McDonald’s Malaysia menaja caruman tahun pertama berjumlah RM250,000 bagi memastikan kesemua 5,000 penghantar makanannya dilindungi di bawah SKSPS.

Kolaborasi dua hala ini juga menyaksikan penghantar makanan tersebut menerima bantuan caruman SKSPS daripada Kerajaan menerusi inisiatif SPS Padanan Caruman di bawah Bajet 2022. Bantuan ini melibatkan pembiayaan oleh Kerajaan sebanyak RM186.20 (80%) daripada jumlah keseluruhan Pelan Caruman Kedua SKSPS sebanyak RM232.80, manakala OBS hanya perlu membayar baki RM46.60 (20%) sahaja untuk tempoh perlindungan selama setahun.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Dato’ Azmir Jaafar berkata, pihaknya mengambil keputusan menaja caruman tahun pertama berjumlah RM250,000 bagi memastikan kesemua 5,000 penghantar makanan McDonald’s Malaysia dilindungi di bawah SKSPS.

Menurutnya, dari semasa ke semasa, McDonald's sentiasa mencari jalan untuk mempertingkatkan manfaat atau pemberian insentif kepada penghantar makanan mereka.

“SKSPS merupakan salah satu skim yang dilihat memberi banyak manfaat, memandangkan kami kini mempunyai jumlah penghantar makanan yang semakin ramai dan dijangka terus bertambah seiring dengan pertumbuhan positif perniagaan McDonald’s, dimana syarikat mensasarkan sejumlah 500 restoran dibuka di negara ini menjelang 2026,” kata Dato’ Azmir Jaafar.

Majlis MoU antara McDonald’s Malaysia dan PERKESO yang disaksikan oleh Dato’ Sri Subahan Kamal, Pengerusi Lembaga PERKESO ini telah ditandatangani oleh Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia dan Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO. Ia turut disaksikan oleh Encik Azhar Darbi, Naib Presiden Sumber Manusia, McDonald’s Malaysia dan Encik John Riba Marin, Timbalan Ketua Eksekutif Operasi PERKESO.

Sementara itu, Dato’ Sri Subahan berkata, PERKESO mengambil pelbagai pendekatan strategik bagi memastikan lebih ramai OBS di negara ini mencarum dengan SKSPS.

"Berdasarkan statistik, 2.7 juta rakyat Malaysia yang bekerja sendiri, namun hanya 568,686 OBS sahaja berdaftar SKSPS setakat 30 September 2022.

"Saya berharap majlis ini dapat memberi kesedaran mengenai kepentingan perlindungan keselamatan sosial dan menarik lebih ramai individu dan pihak lain seperti kementerian, agensi kerajaan, syarikat perniagaan dan persatuan NGO untuk bekerjasama dengan kami bagi melindungi OBS," katanya.

SKSPS membolehkan OBS seperti penghantar makanan McDonald’s menikmati sebanyak

8 faedah PERKESO seperti:

  • Faedah Perubatan

  • Faedah Hilang Upaya Sementara

  • Faedah Hilang Upaya Kekal

  • Faedah Orang Tanggungan

  • Faedah Pengurusan Mayat

  • Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional

  • Faedah Pendidikan

Jalinan kerjasama ini juga antara lain akan memanfaatkan sepenuhnya bidang kepakaran kedua-dua belah pihak termasuk menerusi perkongsian ilmu dan penyampaian perkhidmatan masing-masing bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai perlindungan keselamatan sosial secara berterusan demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.