Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Bajet 2023: Bantuan khas kewangan untuk penjawat awam, pesara
Diterbitkan:  Nov 8, 2022 10:45 AM
Dikemaskini: 3:02 AM

Dalam meneruskan usaha menjaga kebajikan Keluarga Malaysia, Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob akan terus memberi perhatian kepada kebajikan penjawat awam yang berada dalam kelompok B40 dan M40.

Bermula tahun depan 1.3 juta penjawat awam akan menerima bantuan khas kewangan bernilai RM700. Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan itu akan memanfaatkan penjawat awam Gred 56 ke bawah.

"Selain itu, sejumlah sejuta pesara awam pula menerima RM350 dan bantuan ini membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM1.3 bilion," katanya pada pembentangan Bajet 2023.

“Pada pendapat saya, bantuan ini akan dapat membantu ramai golongan pesara untuk perbelanjaan harian mereka dalam keadaan harga harian yang meningkat. Selain itu, bayaran bantuan khas itu adalah tertinggi sejak 2019,” kata Haris bin Hj Baba, pesara guru gred DG 38

Pada masa sama, kerajaan akan mengurangkan kos pembiayaan bagi penjawat awam yang membeli komputer dan telefon pintar kepada dua peratus setahun, turun berbanding empat peratus ketika ini. Untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang berkhidmat melebihi 10 tahun, kerajaan akan menambah kadar cuti rehat kepada 15 hari setahun.

Menurut Chia Lee Taw, seorang guru yang berkhidmat selama 12 tahun di SJKC Sin Ming, Puchong, beliau berkata bahawa inisiatif kerajaan menambah cuti rehat adalah satu usaha yang baik, kerana sekarang kebanyakan guru masih mempunyai kesusahan untuk memohon cuti kecemasan dan cuti yang diberikan untuk guru selama 10 hari tidak cukup.

Sebagai membalas khidmat bakti kakitangan kerajaan, Perdana Menteri juga memutuskan supaya Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 dinaikkan kepada RM600 dan dibayar pada Mac 2023.

Bersama dengan Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 yang berkuat kuasa Januari 2023 dan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700 menjadikan jumlah tambahan keseluruhan untuk penjawat awam yang layak pada tahun 2023 adalah sebanyak RM2,500.

Secara keseluruhan, ini adalah 7 inisiatif kerajaan khas untuk penjawat awam

  1. Bantuan Khas Kewangan anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah berjumlah RM700.

  2. Bantuan Khas Kewangan bagi pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen sebanyak RM350 (Januari 2023).

  3. Kenaikan Gaji Tahunan tambahan khas sebanyak RM100 untuk penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 (mulai Januari 2023).

  4. Kenaikan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan hadiah wang tunai (GCR) daripada 160 hari ke 180 hari.

  5. Tambahan Kadar Cuti Rehat Khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan kepada 15 hari setahun (mereka yang berkhidmat melebihi 10 tahun).

  6. Perluasan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan Cuti Tanpa Rekod urusan kematian ahli keluarga terdekat.

  7. Penambahbaikan pemberian pergerakan gaji tahunan kepada pegawai yang telah mencapai gaji maksimum.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS