Pemuda Umno menggesa kerajaan supaya mengembalikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi menambah pendapatan negara.

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh berkata, terpulang jika kerajaan mahu menukar nama GST kepada "Anwar Tax" atau "Madani Tax" asalkan mekanismenya sama.

"Bila cakap buat macam-maca mesti ada duitnya, kalau kerajaan tiada duit tak boleh laksana, kita Pemuda (Umno) minta agar GST dilaksanakan semula utk gantikan SST.

"Dulu disebabkan GST mereka balun kita tak ingat dunia dan kita kalah, dan hari ni jadi kerajaan pakar ekonomi bagi tahu GST baik. Pada peringakat awal (kerajaan) tak setuju GST, lepas tu ubah sikit buat hybrid, (kemudian) tukar balik ke GST.

"Kami pemuda Umno sokong perkara baik, dia nak ubah menjadi Madani Tax ke, Anwar Tax ke, laksanakanlah," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar persidangan Pemuda Umno di Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai lanjut, Akmal berkata ketika negara melaksanakan GST, kerajaan berupaya meraih kutipan mencecah RM44.3 bilion setahun.

Katanya, kutipan itu lebih dua kali ganda berbanding anggaran Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sekitar RM21 bilion.

"Hari ini SST dinaikkan dan diperluas sedikit demi sedikit; soalannya - sampai bila kita mahu terus menampal sistem ini?" tambahnya.

Kata Akmal, keupayaan GST juga turut diakui oleh ahli Parlimen DAP sendiri yang menyarankan supaya GST dikembalikan.

Katanya, jika pemimpin DAP sendiri mengakui akan kebaikan GST, tiada alasan untuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim takut untuk melaksanakannya.

"Dan terbaru, Ahli Parlimen Kepong daripada DAP, Lim Lip Eng sendiri menyarankan supaya GST dikembalikan sekiranya lebih berkesan daripada SST.

"Katanya, kerajaan tidak perlu mencipta sistem hibrid yang rumit semata-mata mahu mengelakkan nama GST. Kalau wakil DAP sendiri sudah berani menyebut GST, mengapa PMX (Anwar) masih takut kepada tiga huruf ini?" soalnya lagi.

Pada 20 Ogos, Anwar berkata kerajaan boleh mempertimbang beberapa komponen GST, tetapi menegaskan bahawa prinsip teras Kerajaan Madani bukan untuk meningkatkan beban cukai ke atas segmen penduduk termiskin.

"Saya tidak bersedia untuk mempertimbang asas GST kerana ia masih merupakan cukai yang bersifat menyeluruh. Cukai itu akan dikenakan ke atas setiap rakyat, termasuk rakyat termiskin. Jadi, prinsip teras kerajaan perlu didukung," katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan sebelum ini mengumumkan bahawa kerajaan sedang mempertimbang untuk memperbaharui rejim cukai penggunaan bagi menjadikannya lebih progresif dan cekap, termasuk kemungkinan memperkenalkan semula aspek GST.