Baru-baru ini, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) melancarkan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 berjumlah RM2 juta menerusi inisiatif Daya Kreatif.
Dana ini dijangka memberi manfaat kepada 2,000 usahawan terutamanya dari sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata kemudahan dana itu merangkumi pembiayaan fi bagi kesemua pemfailan komponen harta intelek termasuk kos bagi kerja yang memerlukan khidmat profesional dan teknikal seperti pendrafan paten.
Tambah beliau, menerusi dana tersebut kerajaan juga akan membiayai kos pemfailan cap dagangan, hak cipta, dan reka bentuk perindustrian.
"Adalah diharapkan dana ini dapat membantu meringankan beban usahawan tempatan seterusnya meningkatkan daya saing melalui perlindungan harta intelek dan merangsangkan ekonomi negara," katanya.
MyIPO sebelum ini menawarkan dana sama yang bernilai RM2.5 juta bagi tempoh 2016 hingga 2020 yang telah memberi manfaat kepada 1,465 usahawan.
Beliau berkata pembahagian Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 bergantung kepada jenis perkhidmatan yang diperlukan usahawan contohnya untuk pemfailan cap dagangan atau draf paten.
Siapakah yang layak dan apakah syarat dan cara untuk memohon Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0?
Dana ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 18 dan ke atas sama ada
Individu
Syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) / Syarikat Milikan Tunggal / Perkongsian
Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Agensi / Kementerian
Komuniti Setempat / Tempatan (bagi Petunjuk Geografi)
Pelajar Kolej / Institusi Kemahiran / Politeknik / Institusi Pengajian Tinggi Tempatan dan setaraf
Pelajar Sekolah Rendah / Menengah (Permohonan adalah atas nama sekolah)
Salahuddin mengulas lanjut bahawa setiap rakyat yang memiliki kapasiti melahirkan harta intelek perlu mendaftarkan produk mereka supaya dapat diberikan perlindungan undang-undang, pada masa sama mengkomersialkan produk dan meningkatkan pendapatan masing-masing.
Beliau menggalakkan para usahawan untuk mengenal pasti komponen harta intelek yang berpotensi untuk didaftarkan bagi mendapat hak eksklusif yang optimum.
MylPO pada tahun lepas menerima sebanyak 329,917 permohonan harta intelek daripada dalam dan luar negara termasuk 128,822 permohonan bagi harta intelek tempatan.
Permohonan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 boleh dibuat secara dalam talian di www.myipo.gov.my atau hadir ke Ibu Pejabat MyIPO dan Cawangan MyIPO berhampiran.
